sukan

Kelayakan Piala Dunia: Jepun menang sangat besar

Bintang Liga Perdana Inggeris (EPL), Kaoru Mitoma dan Wataru Endo masing-masing menjaringkan gol ketika Jepun membelasah China, 7-0 perlawanan pusingan ketiga Kelayakan Piala Dunia Zon Asia, hari ini.

Pemain sayap Brighton, Mitoma, yang terlepas sebahagian besar tahun ini akibat cedera, membuat penampilan pertama bagi Jepun sejak Piala Asia 2023 di Qatar pada Januari lalu.

Dia melengkapkan penampilan semulanya dengan bergaya di depan lebih 50,000 penonton di Saitama, apabila menanduk masuk gol selepas pemain Liverpool, Endo sebelum itu meletakkan Jepun di depan.

Takumi Minamino menambah dua lagi gol selepas rehat untuk Jepun selesa mendahului China yang berusaha layak ke Piala Dunia kali pertama sejak 2002.

Junya Ito yang bermain kali pertama untuk Jepun selepas Piala Asia, menyumbang satu gol manakala dua lagi gol dijaringkan Daizen Maeda dan Takefusa Kubo, sekali gus melengkapkan dominasi skuad kendalian Hajime Moriyasu.

Ia sudah pasti malam yang mahu dilupakan China, yang mara ke pusingan ketiga berdasarkan rekod lebih baik pada pertarungan dengan Thailand.

Japan dan China diundi bersama Australia, Arab Saudi, Bahrain dan Indonesia dalam Kumpulan C yang dianggap paling mencabar.

sumber:- HM

Dua pasukan teratas kumpulan layak ke Piala Dunia, manakala pasukan di tempat ketiga dan keempat akan bersaing di peringkat kelayakan berikutnya.