sukan

Ziyad hadiahkan pingat untuk Malaysia

Hasrat jaguh lontar peluru para negara, Muhammad Ziyad Zolkefli untuk merampas kembali pingat emas yang pernah dimenanginya lapan tahun lalu tidak kesampaian selepas meraih perak di Sukan Paralimpik Paris, sebentar tadi.

Pada aksi final acara lontar peluru lelaki F20 (kecacatan intelektual) di Stade de France itu, Ziyad merekodkan catatan terbaiknya pada percubaan ketiga dengan lontaran sejauh 17.18 meter (m).

Dia berada di belakang atlet Ukraine, Oleksandr Yarovyi yang meraih emas selepas dua kali memecahkan rekod dunia dengan catatan 17.61m manakala gangsa menjadi milik rakan senegaranya, Maksym Koval (16.99m).

Sebagai rekod, Ziyad yang berusia 34 tahun berjaya mememangi emas pada edisi 2016 di Rio de Janeiro.Bagaimanapun, dia tidak berjaya mempertahankan emasnya itu pada edisi 2020 di Tokyo selepas penyertaannya dibatalkan gara-gara lewat tiba di bilik panggilan sebelum pertandingan bermula.

Pingat perak yang dimenangi Ziyad adalah yang ketiga buat kontinjen Malaysia di Paris selepas jaguh badminton, Cheah Liek Hou menyumbang emas dalam kategori SU5 (kecacatan fizikal) dan atlet olahraga, Eddy Bernard merangkul gangsa acara 100m lelaki T44 (kecacatan fizikal).

sumber:- BH

Sementara itu, seorang lagi atlet negara, Muhammad Nazmi Nasri yang bersaing dalam acara lompat jauh lelaki T37 (kecacatan fizikal) menamatkan aksi final di tempat kelima dengan catatan 6m.