sukan

RM218,000 sebulan untuk Hang Seo

Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) perlu bersedia untuk membayar lebih dua kali ganda daripada gaji bekas pengendali, Kim Pan Gon jika mereka benar-benar berhasrat untuk ‘meminang’ Park Hang Seo.

Ini kerana gaji bekas pengendali Vietnam itu lebih tinggi daripada gaji Pan Gon di mana badan induk itu sebelum ini membayar Pan Gon gaji di bawah US$20,000 ataupun RM87,000 sebulan kepada pengendali yang kini sudah bersama kelab Korea Selatan, Ulsan Hyundai.

Memetik laporan portal Vietnam, VN Ekspress, Persatuan Bolasepak Vietnam (VFF) dilaporkan membayar gaji Hang Seo sebanyak US$50,000 ataupun RM218,000 sebulan dengan Hang Seo mengendalikan pasukan itu bagi tempoh lima tahun setengah.

“Jurulatih Park menamatkan tempoh lima tahun setengahnya bersama bola sepak Vietnam apabila memutuskan untuk tidak menyambung kontraknya.

“Jurulatih Park menerima gaji sebanyak US$50,000 sebulan sebagai ketua jurulatih pasukan senior Vietnam dan beliau dibenarkan mengambil bayaran penuh daripada pengiklanan” kata portal terbabit pada tahun lalu.

Terdahulu, BH Sukan melaporkan jalan untuk badan induk itu mendapatkan khidmat Pak Hang Seo kini terbuka luas.Ia susulan ejen kepada Hang Seo, Lee Dong Jun dilaporkan bersedia untuk mengadakan rundingan bersama FAM sekiranya benar-benar berminat dengan khidmat pengendali dari Korea Selatan itu.

Sebagai rekod, Hamidin dalam sidang media pada minggu lalu mengakui Hang Seo menjadi salah seorang jurulatih yang berada dalam radar FAM untuk mengemudi Harimau Malaya.

sumber:- BH

Beliau bagaimanapun menjelaskan bahawa pihaknya ketika ini akan membuat penilaian rapi terlebih dahulu terhadap prestasi Pau Marti Vicente sebelum memutuskan untuk mengambil ketua jurulatih baharu buat Harimau Malaya.