sukan

Syamer Kutty akui sedih

Pemain tengah skuad kebangsaan, Syamer Kutty Abba mengakui sedih dengan tindakan segelintir penyokong yang memboikot Pestabola Merdeka 2024.

Syamer bagaimanapun menegaskan bahawa Harimau Malaya tetap akan berusaha memberikan ‘hadiah’ bernilai buat seluruh penyokong bermula dengan aksi pertama menentang Filipina di Stadium Nasional, Bukit Jalil, malam esok.

Malah, pemain berusia 26 tahun itu berharap kemenangan ke atas Filipina dapat membuka kembali hati penyokong untuk hadir ke stadium bagi memberi sokongan kepada Harimau Malaya dalam aksi seterusnya.

“Bola sepak adalah untuk penyokong, kami bermain pun untuk penyokong. Jadi, perkara itu (penyokong boikot) satu benda yang menyedihkan kerana kami datang ke sini adalah untuk mereka.

“Namun, ia satu benda yang kami tidak boleh kawal. Kami akan beri sesuatu kepada penyokong untuk yang tak datang pada perlawanan pertama supaya mereka hadir pada aksi kedua dan beri sokongan kepada kami.

“Kami akan dapatkan kemenangan dan tunjukkan yang kami bersatu. Bagi saya secara peribadi, ia sesuatu yang menyedihkan tapi ia di luar kawalan kami.

“Apa yang kami boleh berikan adalah permainan yang terbaik. Saya percaya ramai yang mahu menonton permainan kami,” katanya pada sidang media di Stadium Nasional, hari ini.

Segelintir penyokong termasuk Ultras Malaya sebelum ini melancarkan kempen boikot Pestabola Merdeka 2024 sebagai tanda protes terhadap Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM).

sumber:- BH

Malah, tiket perlawanan bagi aksi pertama kejohanan itu esok juga tampak suram apabila terdapat laporan bahawa setakat kelmarin, tidak sampai 1,000 keping tiket terjual.