Filipina boleh dianggap sebagai pasukan paling malang dalam Pestabola Merdeka 2024 yang akan berlangsung di Stadium Nasional, Bukit Jalil, esok dan Ahad ini.
Apa tidaknya, selain berdepan isu pertukaran jurulatih lima hari lalu, skuad Azkals juga tidak dapat melakukan persiapan sempurna sebelum tiba di Kuala Lumpur bagi menghadapi kejohanan itu.
Jurulatih sementara Filipina, Norman Fegidero memaklumkan pasukannya hanya akan menjalani latihan rasmi dengan skuad lengkap, hari ini.
Beliau menjelaskan, situasi itu terpaksa dihadapi pasukannya susulan beberapa pemainnya yang beraksi di liga luar negara masih memiliki komitmen bersama kelab masing-masing.
“Kami berdepan situasi yang unik, pasukan baru tiba (di Kuala Lumpur) semalam dan ada pemain tiba petang ini. Ia cabaran besar buat kami dalam mempersiapkan pasukan.
“Latihan pertama kami adalah hari ini dan kerja saya untuk membentuk pasukan yang boleh memberi saingan (dalam Pestabola Merdeka),” katanya pada sidang media di Stadium Nasional, hari ini.
Filipina yang berada di ranking 147 dunia akan menentang Malaysia dalam aksi pertama, malam esok dengan pemenang akan melangkah ke final.
Situasi sukar yang dihadapi Filipina itu dilihat memberi peluang besar buat Harimau Malaya untuk meraih kemenangan.
Meskipun persiapan kurang sempurna, Fegidero tetap meletakkan sasaran besar untuk pasukannya merebut kejuaraan Pestabola Merdeka 2024.
Beliau juga mengakui sudah mengkaji corak permainan Harimau Malaya dan menamakan Safawi Rasid sebagai antara pemain yang harus diberi perhatian oleh pasukannya.
“Saya sudah mengenali semua pemain dalam skuad dan kebanyakan mereka pemain utama dalam kelab masing-masing. Jadi persiapan kami bergantung kepada pengalaman mereka bersama kelab.
sumber:- BH
“(Sasaran) sudah pasti kami mahu menang. Tapi ia bergantung kepada pemain, kami mahu menang untuk penyokong. Semua pemain sangat teruja beraksi dalam kejohanan ini dan mereka akan bagi permainan terbaik,” katanya.