sukan

Komen ten Hag selepas Manchester dibelasah tarik perhatian

Erik ten Hag berkata di bukan ‘Harry Potter’ yang mampu melakukan magis bagi mengubah Manchester United dalam sekelip mata selepas kekalahan 3-0 kepada Liverpool di Old Trafford.

Pengendali dari Belanda itu kembali tertekan selepas hanya tiga perlawanan pertama Liga Perdana Inggeris musim ini apabila tewas kepada Brighton 2-1 hujung minggu lalu.

Kemenangan 2-1 ke atas Manchester City pada final Piala FA musim lalu menyelamatkan karier Ten Hag di United walaupun pasukannya menamatkan saingan liga di tangga kelapan – pencapaian terburuk United di Liga Perdana Inggeris.

Bekas bos Ajax itu turut diberi lanjutan kontrak dan dana 200 juta pound (RM1.14 bilion) untuk membeli pemain baharu sepanjang jendela perpindahan lalu.

Namun semangat membara United dan penyokongnya berkecai di Old Trafford apabila Liverpool mudah meraih kemenangan dalam ujian getir pertama Arne Slot sebagai pengganti Jurgen Klopp.

“Saya bukannya Harry Potter, itu yang perlu anda sedar. Kami baru mengharungi tiga perlawanan musim ini, kami perlu membina pasukan baharu.

“Kami akan membina pasukan ini, kami mempunyai pemain-pemain muda, kami juga mempunyai pemain-pemain baharu untuk dibentuk musim ini.

“Hari ini ada dua atau tiga pemain tidak bersama sejak awal musim dan mereka tidak beraksi 90 minit.

“Kami akan bertambah baik. Jelas kami perlu meningkatkan persembahan, tetapi di akhir musim saya yakin kami mempunyai peluang untuk menjulang satu lagi trofi,” kata Ten Hag.

Casemiro dua kali terlepas bola untuk membolehkan Liverpool meledak dua gol pertamanya. Pemenang lima kali Liga Juara-Juara Eropah itu digantikan dengan pemain 20 tahun, Toby Collyer ketika rehat.

sumber:- BH

United tercicir jauh daripada persaingan kejuaraan Liga Perdana Inggeris dalam tempoh 11 tahun selepas pengendali legendanya, Alex Ferguson bersara. – REUTERS