Harimau Malaya tidak boleh memandang mudah terhadap Filipina menjelang pertembungan kedua-dua pasukan pada aksi pertama Pestabola Merdeka 2024 di Stadium Nasional, Bukit Jalil, Rabu ini.
Sebaliknya, pemain tengah skuad kebangsaan Endrick Dos Santos menganggap aksi menentang pasukan di ranking 147 dunia itu sebagai perlawanan besar buat Harimau Malaya.
Pemain naturalisasi itu berkata, Harimau Malaya yang berada kedudukan 134 dunia harus memberi fokus terbaik sekiranya mahu mengelak daripada berdepan kejutan di halaman sendiri.
Malah, dia juga masih berharap penyokong dapat membanjiri gelanggang keramat Harimau Malaya bagi meningkatkan lagi motivasi pemain skuad negara dalam usaha menambah mata dalam ranking Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA).
“Kami benar-benar mahu penyokong datang kerana ia adalah kekuatan tambahan buat kami. Apabila bermain di Bukit Jalil, kami sentiasa memerlukan sokongan dan kami di sini untuk berjuang dan kami menunggu peminat.
“Bagi kami, perlawanan besar menentang Filipina terlebih dahulu dan kemudian kami fikirkan mengenai perlawanan akhir, kami perlu bergerak satu langkah demi satu langkah.
“Kami mahu memenangi trofi Pestabola Merdeka 2024 dan kami akan cuba memberikan piala itu kepada peminat Malaysia,” katanya.
Seandainya berjaya mengatasi Filipina, Harimau Malaya akan menentang sama ada juara bertahan, Tajikistan atau Lubnan di final yang akan berlangsung, Ahad ini.
sumber:- BH
Untuk rekod, Tajikistan muncul juara Pestabola Merdeka 2023 selepas menewaskan Malaysia 2-0 di pentas akhir, 17 Oktober tahun lalu.