Penyerang kacukan skuad Harimau Malaya, Darren Lok akui gembira dapat kembali memperkuatkan pasukan selepas disisihkan pada kem lalu ekoran masalah kecederaan.
Darren yang muncul sebagai tonggak utama pada kempen Piala Asia 2023 di Qatar Januari lalu terpaksa diketepikan pada dua aksi terakhir Kelayakan Piala Dunia 2026 menentang Kyrgyzstan dan Taiwan, Jun lalu.
Jelas ayam tambatan Sabah FC itu, ‘kepulangannya’ ke pangkuan pasukan negara sememangnya dinantikan dan dia sudah tidak sabar beraksi di saingan Pestabola Merdeka menentang Filipina di Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ), Rabu ini.
“Gembira dapat kembali ke pasukan. Seperti saya selalu katakan, dapat berdiri di sini (kem latihan kebangsaan) adalah satu penghormatan untuk menyarung jersi negara.
“Jadi setiap kali saya ke sini, saya gembira dapat menyumbang dan saya harap kita dapat raih sesuatu dari kem latihan kali ini,” katanya pada sesi latihan di Wisma FAM di Kelana Jaya, hari ini.
Selain pertemuan antara Malaysia dan Filipina, kempen Pestabola Merdeka turut menyaksikan pertembungan babitkan Lubnan dan Tajikistan di mana pemenang dalam kedua-dua aksi itu akan mara ke final.
sumber:- HM
Aksi final akan diadakan pada Ahad ini di SNBJ dengan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) mensasarkan anak buah Pau Marti Vicente muncul juara.