Pengendali skuad kebangsaan, Pau Marti Vicente tampak bakal menerima nasib berbeza berbanding bekas ‘bosnya’, Kim Pan Gon sekiranya kempen boikot penyokong terhadap Pestabola Merdeka 2024 benar-benar terjadi.
Apa tidaknya, dengan hanya berbaki dua hari sahaja lagi sebelum aksi pertama kejohanan itu akan berlangsung di Stadium Nasional, Bukit Jalil, namun tidak sampai 1,000 keping tiket dilaporkan terjual.
Situasi itu jauh berbeza dengan sambutan penyokong pada Pestabola Merdeka 2023 yang mana puluhan ribu penonton hadir memberikan sokongan kepada skuad Harimau Malaya yang ketika itu dibimbing Pan Gon.
Seramai 46,150 penonton hadir menyaksikan perlawanan pertama Pestabola Merdeka 2023 antara Malaysia menentang India dan 36,558 jumlah kehadiran penonton direkodkan ketika aksi final Harimau Malaya berdepan Tajikistan.
Kini, suasana itu berkemungkinan besar menjadi lebih suram dengan ia boleh dianggap nasib malang buat Vicente kerana aksi pertama Pestabola Merdeka 2024 berdepan Filipina, Rabu ini menjadi ujian sulung buatnya sebagai ketua jurulatih Harimau Malaya.
Meskipun aksi di atas padang menjadi kunci utama dalam mendapatkan keputusan positif, namun tidak dinafikan tanpa sorakan puluhan ribu penonton terutama Ultras Malaya akan mengurangkan senjata Harimau Malaya untuk memerangkap lawan.
“Sudah pasti saya mahukan Ultras Malaya datang dan saya mahu semua penyokong datang. Tapi kami pasukan bola sepak dan kami akan bermain bola sepak.
“Hanya apa yang kami boleh lakukan adalah melakukan persiapan terbaik dan mempamerkan corak permainan sebaik mungkin,” kata Vicente yang dilantik sebagai pengendali Harimau Malaya selepas Pan Gon meletak jawatan, 16 Julai lalu.
Perkara paling utama yang perlu dilakukan Vicente ketika ini adalah perlu memastikan pasukannya mengatasi Filipina untuk melangkah ke final dan mungkin boleh menjadi ‘modal’ untuk memujuk penyokong kembali ke stadium.
sumber:- BH
Sekiranya berjaya menewaskan Filipina, Harimau Malaya akan menentang pemenang satu lagi aksi, Lubnan atau Tajikistan di pentas akhir yang akan berlangsung, Ahad ini.