Pasukan bola sepak wanita Sabah FA membuat kejutan apabila memenangi saingan aksi pusingan awal Kumpulan C Liga Juara-Juara Wanita AFC (AWCL) di Stadium Likas, sebentar tadi.
Kemenangan itu selepas Sabah FA berjaya mengatasi PFC Nasaf dari Uzbekistan dengan jaringan 2-1 walaupun berdepan saingan sengit daripada pasukan lawan yang kelihatan lebih kuat dan bertenaga.
Lebih membanggakan, Sabah FA mendahului dua jaringan pada babak pertama sebelum PFC Nasaf mendapat gol tunggal pada separuh masa kedua.
Kedua-dua gol Sabah FA dijaringkan penyerang import dari Myanmar, Win Theinge Tun pada minit ke-31 dan 44, sekali gus meletakkan Sabah FA di hadapan dengan 2-0 sehingga pada babak pertama.
Serangan demi serangan tertumpu di gawang Sabah menyebabkan penjaga gol Nurul Azurin Mazlan terpaksa bekerja keras mempertahankan gawang dengan dibantu barisan pertahanan pasukan.
Jaringan pertama Sabah pada minit ke-31 tercipta selepas Win Theinge menerima hantaran daripada Henrietta Justine dan melakukan cubaan tepat ke arah gawang lawan.
Pada minit ke-44 pula Sabah diberi sepakan penalti selepas berlaku rempuhan kuat terhadap Henrietta oleh penjaga gol PFC Nasaf, Gulomova Kumushoy yang membuatkan pengadil dari China, Tian Jin memberi sepakan penalti kepada Sabah.
Sepakan dilakukan Eri Narita sebelum dapat ditampan penjaga gol PFC Nasaf, namun bola terpantul ke depan dan dapat dibaca Win Theinge yang meluru ke depan melakukan cubaan tepat untuk gol keduanya.
Hanya pada minit ke-82 gawang Sabah bolos hasil jaringan pemain lawan, Alvine Emma Ngonja yang mendapat peluang melakukan cubaan hasil hantaran sepakan sudut rakan pasukannya.
PSF Nasaf hanya memerlukan keputusan seri selepas memenangi perlawanan pertama menentang pasukan APF FC dari Nepal pada 25 Ogos lalu, manakala Sabah perlu menang dalam perlawanan ini selepas seri dengan APF FC pada Rabu lalu.
sumber:- HM
Berikutan kemenangan malam ini, Sabah layak mewakili Kumpulan C ke peringkat seterusnya dalam saingan AWCL 2024 / 2025.