Satu situasi yang cukup menyedihkan!
Pestabola Merdeka di Stadium Nasional Bukit Jail yang sepatutnya menjadi kejohanan berprestij dan dimeriahkan dengan gegak-gempita penyokong mungkin berpotensi bertukar sepi bagaikan ‘kuburan’ susulan ‘cold shoulder’ daripada penyokong.
Ini berikutan jualan tiket bagi perlawanan terbabit yang menampilkan empat pasukan iaitu Harimau Malaya, Filipina, Lubnan dan juara bertahan, Tajikistan sangat tidak memberangsangkan apabila dikatakan tidak sampai 1,000 keping tiket dapat dijual.
Perkembangan itu diakui Pengerusi Jawatankuasa Tiket dan Stadium FAM, Datuk Posa Majais yang melihat jualan tiket bagi hampir semua perlawanan Pestabola Merdeka begitu perlahan ketika perlawanan pertama akan berlangsung, Rabu ini.
Posa yang juga Naib Presiden FAM tidak menolak kemungkinan faktor itu berpunca daripada tindakan boikot yang dilakukan segelintir pihak sehingga menyebabkan penyokong tidak berminat untuk menyaksikan perlawanan itu secara langsung.
“Jika diikutkan sememangnya jualan tiket tidak sampai 1,000 keping sehingga semalam. FAM sudah melakukan pelbagai cara untuk mempromosikan jualan tiket supaya penyokong hadir ke stadium.
“Skuad Harimau Malaya memerlukan sokongan pemain ke-12. Sokongan anda cukup penting dalam memastikan pasukan kebangsaan memperoleh keputusan positif.
“Pemain berjuang demi negara dan janganlah biarkan mereka keseorangan di atas padang tanpa sorakan penyokong,” kata Posa.
Terdahulu, kecoh di media sosial apabila beberapa ‘cawangan’ Ultras Malaya didakwa akan memboikot kejohanan edisi ke-43 itu.Ultras Malaya menerusi laman X, UM’07 membuat ciapan: “Sakit dan terus sakit. Biar je jangan diubat. Kosongkan Stadium! Tutup Curva Pestabola Merdeka!. #ResetBolasepakMalaysia”.
sumber:- BH
Ultras dari Negeri Sembilan, Pahang, Pulau Pinang dan Kuala Lumpur turut meluahkan hasrat untuk memboikot kejohanan itu dengan alasan kerana tidak berpuas hati dengan badan induk itu.