sukan

Liek Hou, Fareez selangkah dari final epik

Kem badminton para negara hanya selangkah daripada melakar satu lagi sejarah selepas kedua-dua wakil mereka dalam perseorangan lelaki SU5 (kecacatan fizikal) Cheah Liek Hou dan Muhammad Fareez Anuar berpeluang untuk bertemu sesama sendiri pada aksi final Sukan Paralimpik Paris 2024.

Kemenangan dilakar Liek Hou, yang turun ke Paris selaku pemenang emas Tokyo 2020, ke atas Suryo Nugroho dari Indonesia 21-10, 21-13, memastikan dia muncul juara Kumpulan A sekali gus mengelak pertemuan dengan Fareez Anuar yang mengungguli Kumpulan B, pada separuh akhir.

Undian pada hari ini menyaksikan Liek Hou bakal bertemu seteru ketatnya dari Indonesia, Dheva Anrimusthi yang melangkah ke separuh akhir selaku naib juara Kumpulan B, sekali gus mengulangi final edisi lalu yang memihak kepada pemain Malaysia itu.

Rekod pertemuan ke atas lawan memperlihatkan kedua-dua pemain negara mempunyai kelebihan dengan Liek Hou menang lapan dalam 15 perlawanan menentang Anrimusthi manakala Fareez pula menang lima kali dan tewas tiga kali berdepan Suryo.

Biarpun sering berdepan Anrimusthi namun Liek Hou berkata, dia masih perlu melakukan analisis video permainan bagi merangka strategi berkesan mengatasi pemain ketiga dunia itu untuk layak ke final buat kali kedua berturut-turut.

Dia pada masa sama gembira Fareez dapat bersama-samanya di separuh akhir dan berharap dapat menentang rakan seperjuangannya di perlawanan akhir.

“Kita jalani latihan, makan dan tidur sama-sama di Majlis Sukan Negara Bukit Jalil. Saya nampak Fareez memang berusaha keras hadapi Paris 2024,” katanya.

Selain kemenangan ke atas Suryo, Liek Hou membuka kempen Paris 2024 dengan meyakinkan apabila menang ke atas Mroz Bartlomiej dari Poland, 21-10, 21-6, disusuli kemenangan menentang pemain tuan rumah Meril Loquette 21-10, 21-16 semalam.

sumber:- HM

Beraksi buat kali pertama di Sukan Paralimpik dan diletakkan dalam kumpulan maut, tidak menggentarkan Fareez dan dia menguasai kesemua perlawanan Kumpulan B bermula dengan kejutan ke atas pilihan kedua Fang Jen Yu dari Taiwan 21-14, 21-18, diikuti kemenangan ke atas Anrimusthi 14-21, 21-19, 21-19 dan pemain Jepun Taiyo Imai, 17-21, 21-17, 21-17.