Penyerang Harimau Malaya Syafiq Ahmad mengakui bukan mudah menembusi kesebelasan utama skuad kebangsaan berdasarkan senarai pemain yang diumumkan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM).
Syafiq yang juga tonggak Kedah Darul Aman (KDA) FC berkata, dia perlu mempersiapkan diri dengan memberikan komitmen terbaik dalam usaha menambat hati pengendali skuad kebangsaan Pau Marti.
Katanya, walaupun mengakui persaingan untuk merebut tempat sebagai penyerang utama Harimau Malaya cukup hebat namun pengalaman yang dimiliki sebelum ini mungkin memberi kelebihan dalam usaha merobek kubu lawan pada kejohanan Pestabola Merdeka yang membuka tirai Rabu ini.
“Bagi saya persaingan yang sihat ini baik untuk pasukan dalam menaikkan tahap kualiti pasukan Malaysia. Sesiapa yang ada di posisi itu, masing-masing perlu buktikan bahawa kita layak berada di kem kebangsaan.
“Saya berharap rakan-rakan pasukan dapat menyesuaikan diri dengan cepat untuk memenuhi tuntutan jurulatih,” katanya. Mengikut rekod, Marti menyenaraikan lima penyerang yang terdiri daripada Paulo Josue, Haqimi Azim, Romel Morales, Darren Lok dan juga Syafiq Ahmad.
Syafiq kini merekodkan dua jaringan dalam tujuh penampilan Liga Super bersama KDA FC.
Berdasarkan kepada perlawanan Pestabola Merdeka menyaksikan Malaysia akan bertemu Filipina manakala juara bertahan Tajikistan menentang Lubnan pada Rabu ini.
Pemenang kedua-dua perlawanan itu akan membuat perhitungan di final pada Ahad, manakala dua pasukan yang tewas akan bertemu pada perlawanan penentuan tempat ketiga pada hari yang sama.