sukan

Hang Seo bukanlah yang terbaik

Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) digesa supaya dapat memberi peluang kepada anak tempatan untuk mengemudi skuad Harimau Malaya selepas badan induk mengesahkan bekas pengendali Vietnam, Park Hang Seo berada dalam radar mereka selaku jurulatih baharu.

Gesaan itu ditimbulkan pemerhati bola sepak tempatan, Prof Madya Dr Zulakbal Abd Karim yang mengharapkan jurulatih tempatan dapat diberikan tanggungjawab selepas Tan Cheng Hoe menjadi anak tempatan terakhir mengendalikan skuad senior kebangsaan.

Zulakbal yang juga Tenaga Pengajar Elit Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) mengakui jurulatih tempatan dapat berkembang dengan baik sekiranya diberikan peluang dan sokongan oleh badan induk itu.

“Saya menghormati pandangan FAM yang ingin berikan yang terbaik untuk pasukan Harimau Malaya tetapi saya juga fikir kalau ambil Hang Seo, dia bukanlah jurulatih yang terbaik, dia sudah keluar dari pasukan itu.

“Sebab itulah saya fikir kita patut beri peluang pada jurulatih tempatan. Elok tak elok, bagus tak bagus, kita sendiri yang melatihnya. Sekarang ini, sudah dua kali FAM dan AFC membuat Pro Diploma, jadi mana pergi semua jurulatih ini di Malaysia?

“Jadi kita ada jurulatih tempatan yang berada dalam kalangan terbaik dan FAM perlu terus beri sokongan supaya jurulatih ini dapat tunjukkan yang lebih baik,” kata Zulakbal.

Terdahulu, Presiden FAM, Datuk Hamidin mengesahkan Hang Seo menjadi antara calon yang berada dalam pertimbangan badan induk itu untuk mengendalikan Harimau Malaya pada masa akan datang.

Hang Seo ketika ini menjadi penasihat kelab divisyen dua Vietnam, Bac Ninh FC

Hamidin bagaimanapun menegaskan buat masa ini fokus utama pihaknya adalah menilai prestasi ketua jurulatih Harimau Malaya ketika ini, Pau Marti Vicente.

Beliau bagaimanapun, berkata pihaknya tetap membuat ‘kerja-kerja rumah’ dengan mencari calon baharu sebagai langkah masa depan dengan menilai beberapa jurulatih termasuk Hang Seo.

Dalam perkembangan sama, Pensyarah Kanan Sains Kejurulatihan Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) itu turut melihat kejayaan skuad kebangsaan yang dipacu anak tempatan akan menjadi bertambah manis.

“Memang kita boleh ambil jurulatih luar tetapi kita harus ingat, ini adalah pasukan negara dan bukan pasukan kelab. Jika kita menang sekalipun, ada orang akan berkata ini (pasukan berjaya) kerana jurulatih asing.

sumber:- BH

“Menang dengan jurulatih tempatan akan jadi lebih bermakna jadi sebab itulah kita harus beri peluang kepada mereka,” katanya.