“Kalau orang nak saya, mereka pilih saya. Mereka taknak, saya sedia berundur,” kata Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd Amin.
Hamidin berkata demikian selepas beliau terus diasak dengan gesaan untuk meletakkan jawatan susulan kegagalan skuad kebangsaan layak secara merit ke Piala Asia 2027 selain keputusan bekas pengendali Harimau Malaya, Kim Pan Gon yang meninggalkan pasukan berkuatkuasa serta-merta, Julai lalu.
Tegas Hamidin, beliau tidak berdepan masalah untuk melepaskan jawatannya sebagai Presiden FAM sekiranya tidak lagi mendapat ‘mandat’ dan kepercayaan daripada ahli gabungan pada kongres pemilihan badan induk itu dijadual berlangsung, tahun depan.
Malah, Hamidin turut mengalu-alukan kepada mana-mana individu yang berminat untuk merebut jawatan yang bakal dipertandingkan pada kongres pemilihan itu nanti.
“(Mereka) yang suruh letak jawatan itu netizen atau penyokong. Tetapi saya ada disipilin kerana kita ada struktur dan ada masa nak letak jawatan. Saya sudahpun berbincang dengan pegawai tertinggi dan tempoh kita (jawatan eksekutif FAM) pun nak habis, sampai tahun depan.
“Dalam masa terdekat pun, kita akan umumkan mengenai pemilihan jadi sesiapa pun boleh bertanding, tidak kisah. Kalau diorang nak saya, diorang pilih saya, diorang taknak saya, saya sedia berundur jadi itu hanya ‘small matter’.
“Apa yang penting, saya buat ini untuk negara dan orang boleh lihat daripada rekod apa yang ada dengan saya. Itu sahaja, orang tak suka kita, orang tetap tak suka dekat kita, betul?,” kata Hamidin.
Sebagai rekod, Malaysia gagal mengesahkan kemaraan ke pusingan ketiga Kelayakan Piala Dunia 2026 yang memberi tiket automatik ke Piala Asia 2027 selepas menamatkan pusingan kedua kelayakan di tempat ketiga Kumpulan D.
Meskipun laluan ke Piala Dunia 2026 sudah tertutup namun skuad bimbingan Pau Marti Vicente masih berpeluang untuk memburu slot ke Piala Asia 2027 dengan pusingan ketiga Kelayakan Piala Asia 2027 akan berlangsung, Mac tahun depan.
sumber:- BH
Sebanyak 24 pasukan akan berentap untuk merebut hanya enam tiket ditawarkan kepada juara setiap kumpulan pada pusingan kelayakan terbabit.