sukan

Saya juga akan turun jika tiada hal lain — Faisal Halim

Penyerang skuad kebangsaan, Faisal Halim berharap penyokong tidak memboikot Pestabola Merdeka 2024 yang akan berlangsung di Stadium Nasional, Bukit Jalil, Rabu depan.

Faisal yang lebih mesra disapa Mickey menjelaskan, skuad Harimau Malaya amat memerlukan sokongan daripada penyokong terutama Ultras Malaya untuk menjayakan misi menjulang trofi kejohanan itu.

Pemain Selangor itu berkata, dia juga akan turun ke Stadium Nasional bagi memberi sokongan skuad Harimau Malaya yang bakal tampil buat kali pertama di bawah kendalian Pau Marti Vicente.

“Saya tak rasa benda yang positif kalau penyokong nak boikot. Pasukan kebangsaan perlukan sokongan dalam keadaan sekarang selepas banyak benda berlaku termasuk Kim Pan Gon tinggalkan kita (Harimau Malaya).

“Sekarang kita ada Pau Marti, kita perlu sokong FAM (Persatuan Bolasepak Malaysia) dan Datuk Hamidin Mohd Amin (Presiden FAM). Sudah tentu pemain akan melakukan tanggungjawab seperti biasa.

“Insya-Allah kemungkinan saya juga akan turun jika tiada hal lain. Walaupun tiada dalam skuad, saya sentiasa berada di belakang rakan-rakan.

“Walaupun saya sakit, saya masih tengok perlawanan di hospital dalam keadaan saya terbaring. Tapi saya nak dapatkan semula saat (prestasi) yang asal memang lambat,” katanya.

Mickey membuat kejutan apabila hadir ke sesi latihan pertama Harimau Malaya semalam di Wisma FAM selepas dijemput oleh Hamidin bagi memberi semangat kepada skuad negara.

Harimau Malaya akan menentang Filipina dalam aksi pertama Pestabola Merdeka dan jika menang, anak buah Vicente akan menentang Lubnan atau Tajikistan di final, 8 September ini.

Selain itu, Mickey turut mengidamkan untuk melihat Harimau Malaya menjuarai Pestabola Merdeka 2024 selepas terlepas trofi itu tahun lalu apabila tewas 0-2 kepada Tajikistan di pentas akhir.

Malah, pemain berusia 26 tahun itu percaya Vicente yang kali pertama bertindak sebagai ketua jurulatih Harimau Malaya mampu memacu pasukan untuk menampilkan prestasi terbaik.

“Sudah tentu dalam kejohanan Pestabola Merdeka ini saya harap kita dapat memberikan yang terbaik dan menjulang piala, memang itu sasaran kita.

sumber:- BH

“Saya fikir semua pemain memahami pendekatan Pau Marti, mungkin taktikal baharu akan hadir, saya tak tahu tapi pasti sesuatu yang baru untuk pasukan. Jadi pemain perlu bersedia dan memahami apa yang jurulatih mahu,” katanya.