JOHOR Darul Ta’zim (JDT) perlu terus bergerak ke hadapan membuktikan keupayaannya di pentas Asia selepas mereka nyata tiada tandingan membelasah antara pencabar terkuat, Selangor FC 6-1 dalam aksi final Piala FA baru-baru ini.
Pemerhati sukan tempatan, Mohd Sadek Mustafa berkata, skuad Harimau Selatan itu sudah mempunyai asas kuat di liga domestik dan perlu terus tampil garang di pentas Asia.
Pasukan gergasi Malaysia itu akan menghadapi cabaran Liga Juara-Juara Asia Elit (ACLE) Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) 2024/25 pada September.
“Telah terbukti JDT telah mencapai rekod pada zaman ini dengan menguasai Liga Malaysia selepas penswastaan daripada FA ke FC, menjadikan mereka pasukan terkuat di negara ini.
“Mereka juga telah menang Liga Super 10 kali berturut-turut dan aras baharu perlu ditetapkan pasukan itu untuk mara sejauh yang boleh di peringkat Asia.
“Sudah tentu peminat mahu melihat mereka menunjukkan taring di pentas Asia menewaskan banyak pasukan kuat lain dalam ACLE,” katanya kepada Sukan Sinar.
Harimau Selatan telah diundi bertemu Juara Liga K1 Korea Selatan, Ulsan HD FC yang kini di bawah bimbingan bekas pengendali Harimau Malaya, Kim Pan Gon pada ACLE yang dijadualkan berlangsung dari 16 September hingga 19 Februari 2025.
Selain Ulsan HD FC, JDT juga akan berhadapan Juara Liga 1 Thai Buriram United, Pohang Steelers (Korea Selatan), Shanghai Shenhua FC (China), Shanghai Port FC, Juara Liga A-League Men Australia Central Coast Mariners FC dan Gwangju FC (Korea Selatan).
Dalam pada itu, Sadek turut melihat cabaran besar akan dihadapi skuad kendalian Hector Bidoglio dalam aksi ACLE dan kemenangan mudah tidak akan diperolehi seperti yang mereka raih dalam saingan domestik.
“Mereka memang sudah ada asas kuat di liga domestik, namun perjalanan masih jauh di peringkat Asia. Mereka perlu melalui proses yang masih panjang untuk jadi matang di peringkat Asia.
sumber:- SH
“Kita tengok Jepun dan Korea Selatan telah melakukan perkara itu 30 tahun dahulu untuk sampai ke tahap sekarang. Perjalanan perlumbaan 100 meter JDT baru sahaja bermula dan tidak semudah apa yang mereka perolehi di saingan domestik,” katanya.