Ketua jurulatih baharu skuad kebangsaan, Pau Marti Vicente berharap tugasan pertamanya membimbing skuad Harimau Malaya pada kejohanan Pestabola Merdeka 2024 tidak berakhir dengan kekecewaan.
Harimau Malaya akan menentang Filipina bagi aksi separuh akhir di Stadium Nasional, Bukit Jalil, 4 September ini dan sekiranya menang, skuad kendalian Vicente akan berdepan sama ada Lubnan atau juara bertahan, Tajikistan di final yang dijadual berlangsung 8 September ini.
Pengendali dari Sepanyol itu berkata, untuk mencapai matlamatnya, beliau memerlukan barisan pemain bermotivasi tinggi dan menunjukkan dedikasi semasa latihan.
“Objektif saya adalah menewaskan Filipina. Kita berada dalam situasi di mana kita tidak boleh berfikir terlalu jauh kecuali menang pada perlawanan pertama.
“Saya mahu semua pemain bermotivasi dan berusaha keras semasa latihan bagi merebut tempat dalam kesebelasan utama.
“Saya mahu pasukan memiliki mentaliti kemenangan dan tidak lebih daripada itu.”Saya fikir Filipina adalah lawan yang kuat, kita perlu fokus kepada mereka dan lihat apa yang akan datang,” katanya ketika ditemui media semasa hari pertama sesi latihan pasukan kebangsaan di Wisma FAM, Kelana Jaya, hari ini.
Pada masa sama, Vicente memberi jaminan akan menurunkan skuad terkuat untuk memburu kemenangan menentang Filipina.
Sementara itu, beliau memaklumkan semua pemain yang dipanggil untuk kem latihan telah melaporkan diri, kecuali pemain pertahanan Dion Cools yang masih mempunyai perlawanan bersama kelabnya di Thailand dan akan menyertai kem latihan pada Isnin ini.
Perlawanan menentang Filipina akan menjadi tugasan pertama Vicente selepas pelantikannya susulan peletakan jawatan mengejut bekas jurulatih Kim Pan-gon, 16 Julai lalu.
sumber:- HM
Vicente sebelum ini adalah penolong kepada Pan-gon sejak 2022.