Selepas ‘berbuku’ di hati hampir sebulan lebih, akhirnya Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd Amin membuka kisah sebenarnya disebalik peletakkan jawatan bekas jurulatih negara, Kim Pan-gon.
Kata Hamidin, beliau sangat kecewa apabila peminat dan penyokong menghentam FAM kerana tidak mempertahankan pengendali dari Korea Selatan itu.
Jelas Hamidin, sebenarnya Pan-gon meminta untuk dilepaskan atas alasan isu keluarga namun hakikatnya pengendali itu sudah membuat perjanjian dengan kelab Korea Selatan, Ulsan Hyundai.
Ujarnya, situasi itu sebenarnya menyalahi dan melanggar kontrak di mana Pan-gon seharusnya kekal membimbing pasukan sehingga hujung tahun depan.”Bukan untuk mencari ‘kambing hitam’ atau alasan. Di sini FAM langsung tak bersalah, tapi kebenaran ini pedih untuk kita terima.
“Selepas Pan-gon balik bercuti dua minggu dan kemudian minta lagi seminggu, beliau jumpa dengan saya dan mohon untuk lepaskan kontrak lebih awal untuk pulang ke Korea atas urusan isteri dan keluarga.
“Mulanya saya minta beliau bertahan sehingga kontrak habis. Keesokan harinya beliau jumpa saya lagi, minta lagi macam ‘orang gila talak’ dan saya kata padanya tunggu sehingga hujung tahun ini pula.
“Tapi hari ketiga, hari sebelum saya pergi ke Mallorca (untuk meninjau persiapan atlet negara untuk Sukan Olimpik), beliau merayu untuk saya lepaskan juga.
“Akhirnya saya bersetuju. Saya tahu keputusan saya itu akan membuatkan peminat marah kepada FAM, tapu ini kebenaran yang peminat perlu tahu.
“Saya kecewa kerana FAM jadi mangsa sedangkan apa yang dilakukan Pan-gon memang tak profesional. Beliau tak cerita hal sebenar rupanya nak pergi ke Ulsan Hyundai tapi beri alasan mengenai keluarga,” katanya.
Ujar Hamidin lagi, mengenangkan jasa-jasa Pan-gon sepanjang bersama Harimau Malaya, beliau mengambil pendekatan baik dengan tidak menyaman.
“Kalau ikutkan saya boleh sahaja untuk menyaman dan minta pampasan. Tapi saya ini bukan orang yang berdendam.
“Cuma saya terkilan dengan apa yang beliau lakukan. Beliau tidak profesional dan akhirnya FAM pula yang dikritik peminat,” katanya.
sumber:- HM
Untuk rekod, Pan-gon yang membawa skuad Harimau Malaya ke Piala Asia di Qatar Januari lalu selepas 43 tahun meletakkan jawatan pada bulan lalu dan pembantunya, Paulo Marti Vicente dilantik mengisi kekosongan itu.