sukan

Saham Luqman Hakim dijangka melonjak tinggi

Saham penyerang sensasi negara, Luqman Hakim Shamsudin dalam saingan Liga Malaysia (Liga M) dijangka melonjak tinggi pada saingan musim hadapan apabila kontraknya bersama kelab Belgium, KV Kortrijk berakhir pada pertengahan 2025.

Luqman yang dihubungi Arena Metro mengakui belum membuat perancangan mengenai masa depannya selepas kontrak selama lima musim dengan KV Kortrijk tamat nanti.

Jelas Luqman, tempoh pinjaman bersama kelab Jepun, YSCC Yokohama bakal berakhir Disember ini dan dia kemungkinan akan memohon untuk terus berstatus pinjaman dengan kelab lain di Eropah hingga pertengahan musim depan.

Ujarnya, dia mahu terus kekal beraksi di luar, namun tidak menolak kemungkinan memilih Liga M untuk meneruskan kariernya sebagai pemain profesional.

“Saya tak fikirkan lagi sebab masih ada kontrak dengan KV Kortrijk sehingga pertengahan tahun depan.
“Kalau boleh saya mahu terus bermain di luar negara tidak kisah di mana-mana seperti di Eropah, Asia atau Asia Tenggara.

“Tapi kalau ada pasukan Liga Super tawarkan kontrak pun saya akan teliti dan fikirkan.

“Apapun kita tunggu sehingga tahun depan, Insya-Allah saya akan maklumkan nanti,” katanya kepada Arena Metro.

Ditanya sama ada terdapat pasukan Liga M berhubung dengannya, Luqman akui sememangnya ada, namun dia masih belum membuat keputusan.

Terdahulu, Luqman muncul pemain tempatan pertama membuat kemunculan di liga utama Eropah apabila beraksi buat KV Kortrijk dalam saingan Belgium Pro League.

Begitupun disebabkan persaingan cukup sengit dalam skuad utama, Luqman kemudiannya banyak beraksi bersama skuad simpanan KV Kortrijk sebelum dia memilih untuk dipinjamkan ke Njardvik FC untuk beraksi di liga utama Iceland pada tahun lalu.

Awal musim ini pula menyaksikan Luqman dipinjamkan selama semusim ke YSCC Yokohama yang beraksi dalam divisyen tiga Jepun.

sumber:- HM

Tindakan beraksi secara pinjaman bagi membolehkan Luqman mengumpul minit permainan disamping meraih pengalaman berguna apabila beraksi di beberapa liga berbeza.