sukan

Tak perlu bimbang — Paulo Josue

Tonggak naturalisasi negara, Paulo Josue menegaskan peminat tidak perlu bimbang mengenai prestasi skuad Harimau Malaya di bawah bimbingan pengendali baharu kebangsaan, Pau Marti Vicente.

Jelasnya, corak permainan sama seperti ketika dikendalikan Kim Pan-gon tetap akan diteruskan, malah kemungkinan jauh lebih baik.

Ini kerana katanya, Vicente sebelum ini adalah penolong jurulatih kepada Pan-gon sekali gus, DNA sama akan dikekalkan seperti mana yang ditunjukkan sejak dua tahun lalu dengan menekankan aspek permainan berintensiti tinggi serta penguasaan bola secara penuh.

“Saya sendiri berada dalam skuad Piala Asia tempoh hari (Januari lalu di Qatar) dan saya yakin dengan kemampuan Vicente. Beliau ada sentuhan istimewa buat pasukan negara.

“Saya harap semua pihak terutamanya penyokong terus beri sokongan dan kepercayaan di bahu beliau agar kita berjaya dalam perlawanan akan datang,” katanya.

Ujarnya lagi, pengalaman Vicente di Sepanyol selaku bekas jurulatih skuad remaja Barcelona boleh dimanfaatkan bersama skuad Harimau Malaya nanti.

“Saya yakin Vicente akan meneruskan momentum sama dengan tidak banyak perubahan dalam permainan pasukan.

“Malah, mungkin akan ada penambahbaikan dilakukan nanti kerana kita tahu pengalaman Vicente di Sepanyol cukup luas,” katanya.

Skuad negara akan memulakan latihan pusat Khamis ini dengan Vicente memanggil 26 pemain untuk kem latihan kali ini.

Tugasan pertama yang bakal menanti Vicente adalah kejohanan Pestabola Merdeka yang akan bermula 4 September ini, dengan pasukan negara akan bertemu Filipina di Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ).

sumber:- HM

Jika menang, Malaysia akan mara ke final dan akan menentang pemenang antara Lubnan atau Tajikistan di mana final dijadual berlangsung 8 September di SNBJ.