Kuching City FC (KCFC) melonjak ke tangga keempat Liga Super selepas meraih kemenangan tipis 1-0 ke atas pasukan tercorot, Kelantan Darul Naim (KDN) FC di Stadium Negeri, sebentar tadi.
Keputusan itu menyaksikan skuad bimbingan Aidil Sharin Sahak melakar kemenangan ketiga dalam liga sekali gus melebarkan rekod tanpa kalah dalam enam perlawanan liga dalam sembilan aksi setakat ini.
Malang buat KDN FC yang tewas lima aksi berturut-turut dan mereka menghimpun kekalahan kelapan dalam liga dengan hanya mengutip tiga mata daripada sembilan perlawanan.
Pada aksi terbabit, meskipun lebih banyak menguasai permainan namun tuan rumah terpaksa menunggu sehingga minit ke-37 untuk membuka jaringan menerusi tandukan dalam kotak penalti oleh Jordan Mintah.
Bersambung selepas rehat, kedua-dua pasukan memperkemas serangan dan memiliki beberapa peluang untuk melakukan percubaan namun tidak cukup untuk diterjemahkan kepada gol.
KCFC nyaris menambah gol kedua menerusi Mintah yang menyambut hantaran lintang Nur Shamie Iszuan Amin pada minit ke-69, sayangnya tandukannya sekadar terkena palang.
Penjaga gol KDN FC, Khatul Anuar Md Jalil berjaya menafikan sepakan percuma Mohamad Alif Hassan pada minit ke-87 namun kedudukan 1-0 kekal buat tuan rumah sehingga wisel penamat dibunyikan.
sumber:- BH
Selepas ini, KCFC akan berdepan Selangor FC (SFC) di tempat lawan pada 13 September sementara KDN FC akan ‘berehat’ dan hanya akan turun beraksi menentang pendahulu liga, Johor Darul Ta’zim (JDT) pada 22 September.