Ketua jurulatih skuad Harimau Malaya, Pau Marti Vicente boleh dianggap ‘beruntung’ berbanding pendahulunya, Kim Pan Gon untuk menghadapi saingan Pestabola Merdeka, awal bulan depan.
Pengendali dari Sepanyol itu dapat memanggil jentera serangan yang diinginkan selepas skuad kebangsaan tempang di bahagian jentera serangan pada pusingan Kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027, Jun lalu.
Pau Marti berjaya mendapatkan khidmat Arif Aiman Hanapi dan Romel Morales dari Johor Darul Ta’zim (JDT), Darren Lok (Sabah FC) dan Syafiq Ahmad (Kedah Darul Aman FC) dengan hanya Faisal Halim masih diketepikan kerana belum berada pada tahap terbaik untuk beraksi.
Justeru, situasi ini memberi lebih banyak pilihan untuk Pau Marti ‘bereksperimen’ dan mengatur jentera serangan untuk menghadapi dua perlawanan di Pestabola Merdeka nanti.
“Jika hendak dibandingkan dengan kem sebelum ini, kita tidak memiliki ramai penyerang tetapi kali ini, kita ada penyerang yang boleh digunakan, Saya yakin dengan kemampuan yang ada pada mereka.
“Kita berdepan kesukaran untuk mendapatkan penyerang terbaik kerana pasukan Liga Malaysia (Liga M) menggunakan khidmat penyerang import tetapi kita ada penyerang, pemain sayap dan pemain tengah menyerang yang bagus.
“Jadi kita gembira dengan pilihan yang kita ada di bahagian serangan,” kata Pau Marti.
Sebagai rekod, skuad negara akan berdepan Filipina untuk aksi pertama pada 4 September ini manakala satu lagi aksi akan menampilkan pertembungan antara Lubnan dan juara bertahan, Tajikistan juga pada tarikh sama.]
sumber:- BH
Pemenang kedua-dua perlawanan itu akan berentap di final selepas pasukan yang tewas akan mengharungi aksi penentuan tempat ketiga pada 8 September.