Bergelar juara pada Terbuka Jepun 2024 menjadi pembakar semangat kepada beregu lelaki negara, Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani untuk memburu kedudukan di ranking kelima terbaik dunia.
Nur Izzuddin berkata, komunikasi beliau bersama Sze Fei merupakan kunci kejayaan mereka bergelar juara sekali gus menyemarakkan semangat mereka untuk memburu kelompok lima terbaik itu.
“Kami datang ke sini (Terbuka Jepun) untuk buat yang terbaik dan ianya membuahkan hasil. Kemenangan ini datangnya dari kami mengekalkan fokus dan berkomunikasi dengan lebih baik di dalam gelanggang.
“Kemenangan ini juga memberi pecutan kepada keyakinan kami untuk mencapai misi kami untuk berada dalam kelompok lima terbaik dunia,” kata Nur Izzuddin kepada BWF sejurus tamat perlawanan.
Sze Fei-Nur Izzuddin yang bakal bergerak secara profesional bermula 1 September ini membawa pulang hadiah wang tunai USD$62,900 (RM274,371).
Malah kejayaan Sze Fei-Nur Izzuddin di kejohanan bertaraf Super 750 itu secara tidak langsung menamatkan penantian 22 tahun selepas kali terakhir acara beregu lelaki dimenangi gandingan Chan Chong Ming-Chew Choon Eng pada 2002.
Sementara itu, Sze Fei mengucapkan terima kasih kepada presiden BAM, Tan Sri Mohamad Norza Zakaria yang sentiasa menyokong dan mempercayainya biarpun bergelut dengan prestasi selama menjadi pemain badminton negara.
Norza melepaskan jawatannya selaku presiden kelmarin, kini dipangku oleh Timbalan Presiden 1 BAM, Datuk V Subramaniam sehingga pemilihan exco baharu yang dijadual bakal diadakan pada pertengahan tahun hadapan.
“Kami sangat gembira dengan kemenangan hari ini (semalam). Kami amat berterima kasih kepada Tan Sri yang sentiasa menyokong dan mempercayai kami semasa di luar atau dalam gelanggang,” kata Sze Fei.
Pasangan no.12 dunia itu mencipta kejutan menundukkan juara dunia tahun lalu dari Korea Selatan, Kang Min Hyuk-Seo Seung Jae 21-19, 21-15 pada aksi final Terbuka Jepun, semalam.
Jelajah BWF di Terbuka Korea, Selasa ini menjadi kejohanan terakhir Sze Fei-Nur Izzuddin selaku pemain di bawah naungan BAM sebelum bergerak sebagai pemain profesional, 1 September ini.