Penyerang Johor Darul Ta’zim (JDT), Bergson Da Silva tidak menganggap kejayaan membelasah Selangor 6-1 di pentas Piala FA 2024/25 sebagai kemenangan yang mudah.
Sebaliknya, pemain kelahiran Brazil itu menjelaskan bahawa kemenangan itu adalah hasil kerja keras semua pihak termasuk pengurusan, jurulatih, pemain dan juga penyokong.
Katanya, kejayaan hatrik menjulang Piala FA selepas turut memenanginya pada 2022 dan 2023 menjadi pembakar semangat untuk Harimau Selatan menghadapi perlawanan seterusnya termasuk tugas lebih sukar di Liga Juara-Juara Asia Elit (ACLE) yang akan bermula bulan depan.
“Tidak (bukan menang mudah). Pada pertengahan perlawanan kami mula menekan mereka dan saya bangga dengan apa yang ditampilkan pasukan yang mana kami menunjukkan karakter kami, malam ini, dan jadi juara.
“Seperti biasa, penyokong sentiasa menyokong kami, tiada kata-kata untuk digambarkan kepada mereka. Ke mana kami pergi mereka mengikuti kami, jadi kami buat yang terbaik,” katanya.
Bergson menyumbang satu gol dalam aksi final itu untuk membantu JDT membelasah Selangor, sekali gus muncul pasukan yang merekodkan jaringan terbesar dalam sejarah perlawanan akhir Piala FA.
Sejak menyertai JDT pada 2021, pemain berusia 33 tahun itu sentiasa menjadi watak penting buat Harimau Selatan di pentas akhir dengan dia turut meledak gol ketika membantu pasukannya memenangi aksi final Piala Malaysia 2022 dan 2023 serta Piala FA 2022.
Ditanya apa rahsia hingga dia boleh menjadi penjaring utama JDT dalam perlawanan akhir, Bergson menjelaskan tiada rahsia istimewa selain bekerja keras.
sumber:- BH
“Tiada rahsia, hanya bekerja keras setiap hari, membentuk keserasian dengan rakan sepasukan dan mereka banyak membantu saya. Malam ini kami menang, terima kasih bos (Tunku Mahkota Ismail),” katanya.