sukan

Komen Arif Aiman selepas ‘meletup’ di final

Meskipun agak bergelut apabila kembali daripada kecederaan, pemain Johor Darul Ta’zim (JDT), Arif Aiman Hanapi kembali dengan satu ‘letupan’ apabila mencetak nama selaku penjaring pada aksi final Piala FA 2024 menentang Selangor FC (SFC), malam tadi.

Pemain berusia 22 tahun itu menyambut hantaran lintang Oscar Arribas pada minit ke-41 untuk meletakkan JDT di depan 2-0 selepas Juan Muniz membuka jaringan menerusi sepakan percuma pada minit ke-26.

“Saya agak bergelut kerana baru pulih daripada kecederaan tetapi Tunku Mahkota Johor (Tunku Ismail Sultan Ibrahim) memberi kepercayaan kepada saya untuk menjadi kapten pasukan dalam perlawanan sebelum ini.

“Saya percaya mesti ada kenangan manis dan saya dapat jaringkan gol (di final). Saya tidak mahu menjadi pemain bola sepak yang terkenal tetapi nak jadi pemain bola sepak yang berjaya,” katanya menerusi temuramah bersama Astro Arena.

Mengulas lanjut aksi final itu, Arif Aiman memberikan kredit kepada usaha keras rakan sepasukannya yang turun dengan semangat tinggi untuk mengekalkan kejuaraan pada musim ini.

“Ini perlawanan yang agak penting dan tiada apa yang saya nak cakap, kemenangan buat kami pada malam ini. Kami bekerja keras dan ini bukanlah satu perlawanan yang senang.

“Ini satu perlawanan yang besar dan memang ia satu perlawanan berintensiti tinggi. Saya cuba buat yang terbaik dan berikan apa yang saya ada,” katanya.

Terdahulu, final Piala FA 2024 yang sepatutnya sengit menjadi bagaikan ‘aksi petang-petang’ apabila JDT mudah mencipta sejarah baharu dengan muncul pasukan pertama memenangi hatrik Piala FA selepas membelasah SFC 6-1 di Stadium Nasional Bukit Jalil, sebentar tadi.

Malah, skuad Harimau Selatan turut mencipta satu lagi rekod baharu apabila menjadi pasukan pertama meledak enam gol dalam final Piala FA sejak pertama kali dipertandingkan pada 1990.

Mendahului 2-0 pada babak pertama hasil jaringan Juan Muniz dan Arif Aiman Hanapi, JDT ‘mengamuk’ apabila menambah empat lagi gol dalam tempoh 45 minit separuh masa kedua.

sumber:- BH

Meskipun Alvin Fortes mengurangkan defisit kepada 2-1 pada minit ke-58 namun Bergson da Silva, Muniz dan Heberty Fernandes menambah tiga gol gol sebelum Muniz melengkapkan hatriknya di hujung permainan.