Sidang media Johor Darul Ta’zim (JDT) selepas perlawanan akhir Piala FA, sebentar tadi memberikan ‘mood’ yang berbeza berbanding ketika sidang media praperlawanan membabitkan pasukan itu, kelmarin.
Ia kerana sidang media yang berlangsung selepas JDT merangkul kejuaraan hatrik Piala FA itu dihadiri ketua jurulatih Harimau Selatan, Hector Bidoglio berbanding sidang media praperlawanan yang mana kelab itu hanya menghantar penolong jurulatih, Jose Lopez.
Apa yang berbeza antara kedua-dua sidang media itu adalah apabila Bidoglio menjawab semua persoalan yang diajukan dengan baik manakala Lopez sebelum ini menjawab ‘tiada komen’ tanpa jawapan lanjut terhadap beberapa soalan wartawan.
Ketika ditanya mengenai kejayaan pasukannya mempertahankan kejuaraan yang dimenangi sejak 2022, Bidoglio menjelaskan pasukannya berjaya mengekalkan intensiti yang sama di babak pertama dan babak kedua sekali gus berjaya menamatkan perlawanan dengan kemenangan besar.
“Saya tidak tahu perbezaan antara separuh masa pertama dan kedua tetapi kami mengekalkan intensiti dalam kedua-dua babak. Mungkin dalam separuh masa kedua, kita tidak dapat mengawal bola tetapi kami kekal mengawal permainan.
“Banyak fasa permainan yang kami tunjukkan, pemain kekal menunjukkan semangat juang dan bermain dengan bijak kerana mereka tahu bagaimana untuk bermain di final.
“Ini menunjukkan potensi dimiliki JDT jadi kami perlu terus bekerja keras dan menjadi lebih baik,” katanya pada sidang media selepas perlawanan.
Dalam perkembangan sama, beliau turut mengucapkan terima kasih kepada semua pihak khususnya pemilik pasukan, Tunku Mahkota Ismail Sultan Ibrahim yang memberikan sepenuh kepercayaan kepadanya selain memberi kredit kepada pemainnya yang memperagakan aksi yang terbaik.
“Bos (Tunku Ismail) sentiasa ada cara untuk memberi motivasi kepada kami jadi terima kasih yang tidak terhingga kepadanya. Pemain menunjukkan persembahan yang terbaik pada aksi final ini,” katanya.
Terdahulu, final Piala FA 2024 yang sepatutnya sengit menjadi bagaikan ‘aksi petang-petang’ apabila JDT mudah mencipta sejarah baharu dengan muncul pasukan pertama memenangi hatrik Piala FA selepas membelasah SFC 6-1 di Stadium Nasional Bukit Jalil.
sumber:- BH
Malah, skuad Harimau Selatan turut mencipta satu lagi rekod baharu apabila menjadi pasukan pertama meledak enam gol gol dalam final Piala FA sejak pertama kali dipertandingkan pada 1990.