sukan

Jangan puji melampau — Rexy

Jangan beri tekanan atau pujian melampau kepada pemain terutama generasi muda, itulah pesanan Pengarah Kejurulatihan Akademi Badminton Malaysia (ABM), Rexy Mainaky kepada semua pihak.

Menurutnya, beliau mengambil iktibar atas apa yang berlaku kepada bekas beregu lelaki emas negara, Koo Kien Keat-Tan Boon Heong selepas prestasi pasangan berkenaan merudum disebabkan tekanan dan dihujani dengan kata-kata sanjungan.

“Saya berharap orang ramai, terutamanya peminat supaya memberikan ruang buat pemain-pemain muda untuk melalui proses langkah demi langkah bagi memenuhi potensi yang ada pada diri masing-masing,” katanya.

Ujar legenda badminton Indonesia itu, beliau menerapkan aspek berkenaan terhadap beregu lelaki muda negara, Aaron Tai-Kang Khai Xing apabila ditanya sama ada sedia untuk segera menghantar pasangan berkenaan ke kejohanan lebih besar.

“Pertama sekali, saya mahu memahami mentaliti pemain-pemain muda kita terlebih dahulu. Jika anda semua ingat, ketika Kien Keat berumur 21 tahun dan Boon Heong 19 tahun, mereka disiram dengan pujian atas kejayaan awal mereka.

“Bagaimanapun, prestasi mereka selepas itu menjadi tidak konsisten, ibarat layang-layang yang terbang di udara. Aaron dan Kang masih muda, jadi saya tidak mahu mereka berdepan dengan tekanan,” katanya.

Sementara itu, Rexy akan mengadakan perbincangan bersama barisan kejurulatihan serta Pemangku Presiden Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Datuk V. Subramaniam berhubung pelan jangka panjang selepas beregu lelaki, Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani bakal meninggalkan badan induk itu bulan depan.

sumber:- HM

“Buat masa ini, ramai jurulatih yang berada di luar untuk Terbuka Jepun dan Korea Selatan. Sebaik mereka pulang, kita akan adakan pertemuan bersama presiden. Saya fikir sekarang kita ada tiga hingga lima beregu lelaki yang mampu mencabar Aaron Chia-Soh Wooi Yik untuk ke Sukan Olimpik Los Angeles 2028 (LA2028),” ujar Rexy.