sukan

Dua pesaing Utama JDT dah ditewaskan

Kemenangan besar 6-1 ke atas Selangor dalam aksi final Piala FA 2024/25 di Stadium Nasional, Bukit Jalil, semalam menjadi petanda bahawa Johor Darul Ta’zim (JDT) akan terus mendominasi acara perebutan trofi dalam Liga Malaysia (Liga M) musim ini.

Apa tidaknya, Selangor selaku pasukan yang dicanang sebagai pesaing utama JDT untuk mencabar kejuaraan dilihat masih belum berada pada tahap yang mampu untuk menggugat nafsu besar Harimau Selatan.

Lebih mengecewakan apabila Gergasi Merah menjadi mangsa belasahan kepada skuad kendalian Hector Bidoglio di pentas akhir yang sepatutnya menjadi perlawanan sengit buat dua pasukan bertanding.

Malah, ketua jurulatih Selangor, Nidzam Jamil juga menganggap kekalahan 1-6 kepada juara bertahan 10 kali berturut-turut Liga Super itu sebagai jumlah jaringan yang terlalu besar bagi aksi final.

Bukan sahaja Selangor, satu lagi pasukan yang dianggap mampu mencabar JDT, Terengganu FC (TFC) juga sudah dikalahkan Harimau Selatan dalam saingan Liga Super sebelum ini.

Situasi itu sekali gus menimbulkan persoalan pasukan mana lagi boleh diharapkan untuk menyekat dominasi skuad Bidoglio yang memegang status gelaran ‘double quadruple’ selepas memenangi empat trofi (Piala Sumbangsih, Piala FA, Liga Super dan Piala Malaysia) dalam dua musim berturut-turut pada 2022 dan 2023.

Berdasarkan corak permainan ‘ganas’ yang dipamerkan JDT terutama ketika aksi final Piala FA, Harimau Selatan dilihat memiliki peluang yang sangat cerah untuk melebar rekod lebih hebat dan mencipta sejarah baharu dengan meraih gelaran ‘triple quadruple’ musim ini.

Kini, hanya tinggal trofi Liga Super dan Piala Malaysia sahaja untuk JDT mencapai gelaran itu selepas sudah menggenggam Piala Sumbangsih dan Piala FA musim ini.

Kejuaraan keempat dalam saingan Piala FA menjadi trofi ke-28 yang dimenangi JDT sejak 2013 selepas 10 kali menjulang trofi Liga Super, empat kali Piala Malaysia, sembilan kali Piala Sumbangsih dan sekali Piala AFC.

Harimau Selatan juga mencipta sejarah baharu, kelmarin apabila muncul pasukan pertama melakar hatrik menjulang Piala FA selepas memenanginya pada 2022 dan 2023 selain menetapkan rekod baharu sebagai pasukan yang meraih kemenangan terbesar di pentas final kejohanan itu sejak 1990.

sumber:- BH

Semua sejarah yang dilakar kelab milik Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail bukan biasa-biasa dan ia dilihat amat sukar untuk diatasi mana-mana pasukan Liga M selepas ini.