sukan

Saham Haqimi Azim semakin melonjak

Pemain muda Kuala Lumpur (KL) City FC, Haqimi Azim Rosli semakin menunjukkan kredibiliti setiap kali diturunkan dan berjaya mempamerkan persembahan yang cukup baik untuk membantu pasukan mendapatkan keputusan positif.

Malah musim ini, ketua jurulatih skuad Warga Kota, Miroslav Kuljanac lebih banyak menggunakan dia sebagai pemain utama berbanding musim sebelum ini dan Haqimi membalas kembali dengan mempamerkan permainan yang cukup baik serta semakin menyerlah dari satu perlawanan ke satu perlawanan.

Terbaharu, pemain berusia 21 tahun itu menjadi watak penting buat KL City selepas mencetak jaringan kemenangan 1-0 ke atas Kaya FC dalam saingan peringkat Kumpulan B Piala Shopee baru-baru ini.

Namun begitu, dirinya melihat ada beberapa perkara yang perlu ditingkatkan bagi memastikan gaya permainannya benar-benar berada di tahap terbaik sekali gus membantu pasukannya mendapatkan kemenangan demi kemenangan.

“Saya berpuas hati (perlawanan menentang Kaya FC) dan saya perlu memperbaiki lagi permainan di dalam padang.

“Jaringan itu juga menjadi pembakar semangat untuk saya tampil lebih yakin dengan pasukan KL City selepas ini terutama dalam saingan Piala Shopee dan kami akan buat yang terbaik dalam kejohanan ini,”katanya.

Untuk rekod, Haqimi juga tersenarai dalam panggilan 26 pemain untuk Harimau Malaya bagi menghadapi Pestabola Merdeka awal bulan hadapan dan momentum itu pasti membantu dia dalam skuad kebangsaan nanti.

sumber:- HM

Ketika ini skuad bimbingan Kuljanac bertemu wakil dari Indonesia, Borneo FC Samarinda pada 26 September depan di halaman sendiri. Dua pasukan teratas akan ke separuh akhir dan akan bertemu lawan dari Kumpulan A.