sukan

Pearly-Thinaah terus cemerlang di Terbuka Jepun

Beregu wanita utama Pearly Tan-M Thinaah muncul antara lima wakil negara mara ke suku akhir Terbuka Jepun 2024 malam tadi.

Pearly-Thinaah meneruskan momentum cemerlang mereka dalam kejohanan Super 750 di Yokohama Arena selepas mengetepikan cabaran Julie Finne-Ipsen-Mai Surrow dari Denmark 21-11, 22-20 dalam masa 34 minit.

Pasangan itu yang layak ke separuh akhir Olimpik Paris 2024 akan berdepan pilihan kedua dari China, Liu Sheng Shu-Tan Ning yang turut mencatatkan kemenangan straight set ke atas beregu tuan rumah Rui Hirokami-Yuna Kato 21-9, 21-18.

Dua pasangan beregu campuran negara Chen Tang Jie-Toh Ee Wei dan Tan Kian Meng-Lai Pei Jing turut mara ke suku akhir.

Tang Jie-Ee Wei, pilihan ketujuh kejohanan, menewaskan Mads Vestergaard-Christine Busch dari Denmark 21-13, 21-13 manakala Kian Meng-Pei Jing menundukkan Ruttanapak Oupthrong-Jhenicha Sudjaipraparat dari Thailand 21-12, 21-16.

Tang Jie-Ee Wei akan bertemu pilihan kedua Jiang Zhen Bang-Wei Ya Xin selepas pasangan China itu menumpaskan pasangan Jepun, Hiroki Midorikawa-Natsu Saito 21-10, 21-17.

Kian Meng-Pei Jing pula akan bertemu pilihan keenam dari Hong Kong, Tang Chun Man-Tse Ying Suet.

Dalam pada itu, beregu lelaki negara Man Wei Chong-Tee Kai Wun menewaskan rakan senegara Ong Yew Sin-Teo Ee Yi 21-16, 21-19 untuk bertemu pilihan ketiga Kang Min Hyuk-Seo Seung Jae dalam perlawanan seterusnya.

Satu lagi beregu negara Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani mengesahkan tempat ke suku akhir apabila menewaskan Liu Kuang Heng-Yang Po Han dari Taiwan 21-14, 24-22.

Pasangan pilihan kelapan itu berpeluang menebus kekecewaan rakan senegara Choong Hon Jian-Muhammad Haikal Nazri yang ditewaskan oleh lawan seterusnya dari Indonesia, Fajar Alfian-Muhammad Rian Ardianto 16-21, 21-8, 21-15.

sumber:- BH

Sementara itu, perjuangan wakil tunggal perseorangan lelaki negara Leong Jun Hao berakhir selepas tumpas kepada pemain tuan rumah yang juga pilihan kelapan Kodai Naraoka 23-21, 10-21, 15-21. – BERNAMA