sukan

TFC bakal umum malam ini

Bagi memperkasakan pasukan, pihak pengurusan Terengganu FC (TFC) bakal mengumumkan penyerang import baharu, malam ini.

Berita gembira buat peminat setia skuad Penyu itu dimaklumkan menerusi kenyataan rasmi dalam laman sosial pasukan itu, tengah hari tadi.

“Pada malam ini TFC akan memperkenalkan secara rasmi seorang pemain import baharu kepada peminat setia di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Gong Badak.

“Pengumuman itu akan dilakukan sebelum sepak mula aksi pertama Kumpulan A saingan Piala Shopee atau Kejuaraan Kelab Asia Tenggara.

“Harap semua peminat setia dapat hadir ke stadium bagi memberikan sokongan kepada pasukan yang bakal berdepan dengan kelab Kemboja, PKR Svay Rieng FC,” demikian kenyataan TFC.

Posisi serta negara pemain itu tidak dimaklumkan dalam kenyataan itu.Namun menurut sumber, pemain yang bakal diumumkan pihak pengurusan TFC itu akan beraksi di posisi serangan.

“Pemain itu berasal dari negara El Salvador itu akan beraksi di posisi serangan bagi menggantikan penyerang kelahiran Croatia, Ivan Mamut yang masih dalam proses pemulihan akibat kecederaan tendon achilles yang dialaminya ketika latihan pramusim.

“Diharapkan kehadiran penyerang itu akan menyaksikan jentera serangan pasukan lebih berbisa kerana sebelum ini ketua jurulatih, Tomislav Steinbruckner hanya meletak sandaran di bahu penyerang kelahiran Nigeria, Ismaheel Akinade,” ujar sumber itu ketika dihubungi.

sumber:- HM

Jendela kedua perpindahan pemain bakal bermula pada 26 Ogos hingga 22 September depan.