Pemain badminton profesional lelaki negara Lee Zii Jia tewas mengejut kepada Alex Lanier dari Perancis, sekali gus tersingkir daripada Terbuka Jepun 2024 di Yokohama, hari ini.
Pemenang pingat gangsa Sukan Olimpik Paris 2024 dan pemain pilihan keenam kejohanan itu, gagal mengulangi prestasi baiknya dan tewas kepada pemain ke-29 dunia 21-18, 21-13 dalam masa 41 minit pada kejohanan Super 750 di Arena Yokohama.
Sementara itu dua pasangan beregu lelaki negara Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani dan Choong Hon Jian-Muhammad Haikal Nazri, seperti dijangka mara ke pusingan kedua.
Sze Fei-Nur Izzuddin yang juga pilihan kelapan kejohanan, berjaya mengatasi beregu tuan rumah Kazuki Shibata-Naoki Yamada 21-13, 21-13 dan akan bertemu Liu Huang Keng-Yang Po Han dari Taiwan.
Terdahulu, pasangan bukan pilihan dari Taiwan itu layak ke pusingan kedua selepas menewaskan satu lagi pasangan negara Low Hang Yee-Ng Eng Cheong 21-13, 21-17.
Sementara itu Hon Jian-Muhammad Haikal pula bertindak cemerlang selepas tewas set pertama untuk mengalahkan pasangan Jerman, Bjaerne Geiss-Jan Colin Voelker 12-21, 21-11, 21-16 dalam masa 55 minit.
Tugas sukar bagaimanapun menanti pasangan itu, apabila akan berdepan beregu Indonesia, Fajar Alfian-Muhammad Rian Ardianto.
sumber:- BH
Perseorangan profesional negara Goh Jin Wei yang turut beraksi pada Paris 2024, gagal layak ke pusingan seterusnya, selepas tewas kepada pemain pilihan ketiga kejohanan dari China, Wang Zhi Yi 21-18, 21-10. – BERNAMA