Aksi final Piala FA 2024 amat menarik kerana menampilkan kelibat penjaga gol kebangsaan dengan Johor Darul Ta’zim (JDT) dijangka terus memberikan kepercayaan kepada Ahmad Syihan Hazmi sementara Selangor FC (SFC) memiliki dua penjaga gol negara iaitu Samuel Sommerville dan Khairul Azhan Khalid.
Syihan jelas memiliki rekod yang memberangsangkan sepanjang kempen Liga Malaysia (Liga M) musim ini di mana dia hanya bolos empat gol dalam tujuh aksi Liga Super selain hanya melepaskan satu gol dalam laluan skuad Harimau Selatan ke final Piala FA buat kali ketiga berturut-turut.
SFC boleh dianggap bertuah kerana ada dua penjaga gol berkaliber yang boleh dipertaruhkan – hanya melepaskan tiga gol dalam enam aksi liga namun agak goyah di pentas Piala FA yang menyaksikan dia bolos lapan kali dalam liga perlawanan.
Khairul Azhan hanya beraksi dalam dua perlawanan liga tetapi bolos dua gol namun berdasarkan konsistensi dalam minit perlawanan dan prestasi semasa, Sommerville menjadi taruhan terbaik untuk menyekat JDT.
BH Sukan mendapatkan pandangan bekas penjaga gol skuad kebangsaan yang bekas jurulatih penjaga gol skuad kebangsaan tahun 2017-2022, Azmin Azram Abdul Aziz untuk merumuskan benteng terakhir kedua-dua pasukan menjelang final Piala FA, Sabtu ini.
KEKUATAN MENTAL ASET ‘TERMAHAL’ SYIHAN
“Satu kelebihan jika Syihan diturunkan di aksi final sekiranya tiada kecederaan serius sebelum ini dan kalau kita perhatikan sebenarnya, sudah lama semua jurulatih penjaga gol di Malaysia ini katakan dia ada pakej utama iaitu ‘sizing’.
Bukan setakat saiz tetapi kita harus puji kekuatan mental yang ada padanya dengan mengambil kira bagaimana dia bangkit untuk kembali beraksi di pentas elit selepas dua tahun digantung daripada sebarang perlawanan dan sesi latihan kompetitif.
Tidak semua pemain dapat mengharungi proses seperti ini tetapi saya yakin Syihan ada lakukan sesuatu sepanjang dia digantung yang mana membantu dia untuk mencapai ke tahap elit yang tinggi seperti ini bermula di PJ City FC, Negeri Sembilan FC (NSFC) sehinggalah ke JDT.
Inilah hasilnya apabila penjaga gol kita diberi minit permainan secara konsisten dan prestasi ditunjukkan membawa dia ke skuad kebangsaan dan ini memberi impak yang bagus kepada semua penjaga gol khususnya di negara ini.
Kita tidak dapat nafikan yang dia adalah penjaga gol pertama negara kita buat masa ini dan ini adalah satu ‘real comeback’ daripada Syihan selepas berdepan situasi mencabar dalam kariernya sebelum ini dan memang Allah sudah tentukan dia akan kembali beraksi.”
KONSISTENSI SOMMERVILLE, PENGALAMAN AZHAN TARUHAN SELANGOR
“SFC memiliki dua penjaga gol berpengalaman terutamanya Azhan yang kita tahu pernah beraksi di beberapa perlawanan akhir bersama Pahang sebelum ini.
Sommerville juga menunjukkan peningkatan prestasi sejak keluar dari JDT dan menyertai Penang FC, daripada situ dia mula bermain secara konsisten dan ia memberikan tahap keyakinan yang baik kepadanya dengan dia meneruskan konsistensi itu apabila menyertai SFC.
Konsistensi ini amat mustahak kepada semua penjaga gol dan saya berpendapat, kedua-dua pasukan sudahpun memiliki pilihan untuk diturunkan pada final nanti.
Memang statistik itu penting, berapa gol yang dibolosi tetapi bagi saya, kita tolak tepi kerana apa yang mustahak adalah saya mahu lihat tahap keyakinan kedua-dua penjaga gol yang akan diturunkan nanti kerana ini adalah final dan siapa yang menang, dia angkat piala.
Maksimum 120 minit, mereka perlu ‘sharp’ dan kekalkan fokus kerana itu karakter yang memainkan peranan untuk kedua-dua penjaga gol dan di sinilah, kita mahu lihat mentaliti juara yang akan ditunjukkan mereka.
Persembahan di final Piala FA ini cukup penting untuk kedua-dua pasukan.”
GEMURUH? NIKMATI SAHAJA FINAL INI!
“Mana-mana pemain pun tetap gemuruh apabila beraksi di final dan ini perkara yang normal walaupun ke atas pemain berpengalaman kerana final ini memang perlawanan yang tegang.
Ada pemain yang suka beraksi di hadapan khalayak ramai kerana ia memberikan semangat, mereka jadi ‘syok’ tetapi ada juga pemain yang tidak suka kerana gemuruh jadi faktor utama adalah persediaan psikologi untuk kedua-dua penjaga gol.
Kenapa persediaan psikologi amat penting? Saya bagi contoh penjaga gol Bayern Munich dan Jerman, Manuel Neuer yang berdepan kecederaan serius di bahagian kaki pada hujung 2022 selepas bermain ski sehingga terpaksa diketepikan selama 10 bulan.
Tetapi Bayern Munich memberikan khidmat psikologi yang terbaik buat Neuer dan situasi ini membantu dia untuk kembali mendapatkan prestasi terbaik pada tahap intensiti yang tinggi ketika bersama Bayern Munich dan Jerman.
Persediaan psikologi Syihan mungkin memburu trofi kedua Piala FA, untuk Sommerville pula mungkin persediaan psikologi untuk final pertama kerana mendakap trofi adalah detik yang diimpikan mana-mana pemain bola sepak sekalipun.
sumber:- BH
Saya tak boleh katakan yang mereka perlu berhati-hati kerana terlampau berhati-hati pun akan buat silap, terlampau yakin pun boleh buat silap juga jadi saya ucapkan ‘take it easy, just enjoy the game’.”