PEMAIN skuasy negara, Yee Xin Ying mencipta sejarah apabila memenangi pingat emas Sukan Malaysia (Sukma) pertama Sabah selepas mengungguli acara perseorangan wanita hari ini.
Pada aksi final di Pusat Skuasy Sarawak di sini, Xin Ying yang muncul sebagai ‘pembunuh gergasi’ selepas mengejutkan Juara Kebangsaan 2024 Aira Azman semalam, bagaimanapun diheret bermandi peluh sebelum menundukkan seorang lagi pemain kebangsaan, K Sehveetrra mewakili Kedah dengan 9-11, 7-11, 11-8, 11-7, 11-8.
Atlet kelahiran Sandakan berusia 20 tahun itu berkata, perlawanan ini ternyata sukar apatah lagi berdepan rakan seperlatihnya Sehveetrraa.
“Dia tahu corak permainan saya, sama juga saya tahu cara dia bermain. Kami saling mengenali dan agak sukar untuk kami berentap,” katanya.
Sementara itu, Aira yang tewas pada aksi separuh akhir semalam, terpaksa berpuas hati dengan pingat gangsa untuk kontinjen Kedah, selepas mengalahkan J Yasshmita dari Negeri Sembilan 9-11, 11-2, 11-4, 11-5.
Perseorangan lelaki akhir pula menyaksikan pemain kebangsaan Joachim Chuah yang mewakili Wilayah Persekutuan mengecewakan pemain Negeri Sembilan, C Ameenshenraj 11-4, 8-11, 7-11, 11-9, 13-11.
sumber:- SH
Pingat gangsa pula milik seorang lagi pemain kebangsaan Low Wa Sern dari Perak yang menewaskan Muhammad Amir Amirul Azhar dari Kelantan 11-4, 11-8, 12-10. – Bernama