Pep Guardiola memuji sikap Manchester City yang memulakan misi mempertahankan gelaran Liga Perdana Inggeris dengan menewaskan Chelsea 2-0 walaupun tanpa latihan pra-musim yang sempurna.
Jaringan Erling Haaland dan Mateo Kovacic memberikan Enzo Maresca kekalahan pertama sebagai pengendali The Blues.
City memulakan permainan tanpa keempat-empat finalis Euro 2024 mereka – Rodri, Kyle Walker, John Stones dan Phil Foden – kerana Guardiola mahu memberikan mereka tempoh rehat lebih lama selepas kejohanan berkenaan.
Kevin De Bruyne, Bernardo Silva, Ruben Dias dan Manuel Akanji bermain untuk 90 minit walaupun kembali lewat untuk latihan selepas mara ke peringkat kalah mati Euro.
Namun juara bertahan itu masih mampu mendominasi permainan ke atas salah satu lawan yang gagal mereka atasi dalam saingan liga musim lalu.
“Saya tidak menjangkakannya. Saya tahu apa yang pemain-pemain ini mampu lakukan, tetapi hari pertama dan kurang latihan.
“Kami hanya mempunyai dua atau tiga hari untuk melakukan persiapan, tetapi kami mengatasinya dengan komitmen kami.
“Anda tidak dapat bayangkan betapa bertuahnya saya kerana dapat mengalami situasi ini dengan kumpulan pemain-pemain hebat,” kata Guardiola.
Maresca pula berdepan tugas sukar membentuk pasukan daripada skuad yang mempunyai 43 pemain dan lebih 50 dalam senarai termasuk mereka yang dipinjamkan.
Ia termasuk keputusan menggugurkan Raheem Sterling yang dikecam kem pemain itu. Ben Chilwell, Conor Gallagher dan Romelu Lukaku juga tidak berada dalam senarai skuad Chelsea.
Tidak ada seorang pun daripada sembilan pemain baharu Chelsea berada dalam kesebelasan utama Maresca.
Lebih mengejutkan apabila Enzo Fernandez diberikan lilitan kapten selepas pemain itu terbabit dalam kontroversi di media sosial susulan kemenangan Argentina di Copa America bulan lalu.
Haaland yang tidak beraksi di Euro hanya memerlukan 18 minit untuk membuka jaringan hasil gerakan Jeremy Doku dan Bernardo Silva.
sumber:- BH
Kovacic mengesahkan kemenangan dengan gerakan solo membelah benteng Chelsea sebelum melencongkan bola melepas penjaga gol, Robert Sanchez. – AFP