sukan

Kelantan lakar sejarah raih emas

Skuad kriket Kelantan melakar sejarah tersendiri apabila meraih pingat emas dalam acara T20 lelaki Sukan Malaysia (SUKMA) 2024 menewaskan Sarawak pada final di Padang Kriket & Ragbi Petra Jaya, di sini hari ini.

Di sebalik tekanan beraksi di laman tuan rumah, Kelantan di bawah bimbingan Ahmad Zahid Adnan tetap unggul ketika mengesahkan kejayaan manis selepas mengetepikan cabaran Sarawak dengan kelebihan 25 larian.

Bercakap kepada pemberita, Ahmad Zahid memuji fokus tinggi dan semangat kental anak buahnya untuk memenangi perlawanan.

“Pandangan peribadi saya, perlawanan ini amat sengit sebab kedua-dua pasukan tunjuk komitmen tinggi,” katanya.Ketua pasukan Kelantan, Amirul Asyraf Ayob berkata kejayaan itu sesuatu yang membanggakan selepas mereka tidak menyertai sebarang pertandingan dalam kejohanan kebangsaan sepanjang dua tahun lalu.

“Tiada siapa jangka kami akan menang kerana kami tidak bertanding dalam kejohanan kebangsaan tetapi kami berlatih dengan tekun dan menunjukkan ketabahan apabila datang ke Kuching.

“Kali pertama kami bertanding dalam kriket SUKMA adalah 15 tahun lalu. Ini kemenangan besar pertama kami dalam kriket Malaysia, jadi ia memang sangat bermakna.

“Apa yang membuatkan permainan ini istimewa di Kelantan adalah hakikat jurulatih kami adalah guru sekolah yang percaya kepada kami dan menunjukkan kami cara untuk bermain kriket dengan baik,” kata pemain berusia 20 tahun itu.

sumber:- BH

Pingat gangsa menjadi milik Selangor yang menundukkan Terengganu dengan kelebihan 31 larian pada aksi penentuan tempat ketiga. – BERNAMA