Ketua jurulatih Selangor, Nidzam Jamil menarik nafas lega apabila tiada pemain Gergasi Merah yang mengalami kecederaan serius selepas mengharungi permainan agresif ketika berdepan Pilihan Singapura dalam aksi Piala Sultan Selangor 2024 di Stadium Merdeka, malam tadi.
Apa tidaknya, Selangor selepas ini perlu menghadapi perlawanan penting menentang juara bertahan, Johor Darul Ta’zim (JDT) dalam aksi final Piala FA di Stadium Nasional, Bukit Jalil, Sabtu ini.
Kecederaan pemain menjadi antara perkara yang dibimbangi skuad Gergasi Merah apabila mereka terpaksa mengharungi tiga perlawanan ‘besar’ dalam tempoh 12 hari bermula dengan aksi Liga Super menentang Sabah, Selasa lalu.
Nidzam berkata, beliau gembira dengan persembahan semua pemainnya yang diturunkan dalam perlawanan Piala Sultan Selangor sambil menjelaskan banyak perkara positif yang boleh dibawa untuk final Piala FA.
“Pertama, kami gembira tiada kecederaan serius dan kedua sudah tentu perlawanan ini mengimbau banyak kenangan. Ia bukan hanya mengenai keputusan, tetapi mengenai apa yang kita boleh imbau dekat sini (Stadium Merdeka).
“Namun, kami gembira juga dengan persembahan dan banyak perkara positif malam ini untuk dibawa ke final Piala FA. Sebagai jurulatih sudah pasti kami sentiasa berasa boleh tingkatkan banyak perkara.
“Kami nak bagi minit permainan untuk setiap orang supaya (perlawanan) malam ini kami habiskan dengan positif dan perasaan yang bagus untuk dibawa ke final minggu depan,” katanya.
Beraksi di atas padang becak dengan corak permainan agresif, skuad Pilihan Selangor berjaya mempertahankan kejuaraan Piala Sultan Selangor yang dimenangi sejak 2018 apabila menewaskan Pilihan Singapura 2-1.
Nidzam turut menyenaraikan Faisal Halim dalam kesebelasan utama dan memberikan lilitan kapten kepada pemain itu buat kali pertama musim ini.
Mengulas persembahan Faisal yang beraksi sepanjang babak pertama berdepan Pilihan Singapura, Nidzam menganggap pemain berusia 26 tahun itu berada pada landasan terbaik untuk kembali kepada prestasi asal.
“Kami gembira sebab dia (Faisal) akan lalui fasa seperti ini. Sudah pasti dia belum sampai tahap yang kita semua jangkakan, tetapi dia pada landasan.
“Saya gembira untuk katakan ia bukan hanya mengenai Faisal, saya berasa semua 23 pemain bagi komitmen yang bagus. Saya gembira juga dengan persembahan Zikri (Khalili), Azim (Al-Amin), kebanyakan pemain muda.
sumber:- BH
“Hanya Safuwan (Baharudin) dan Alex (Agyarkwa) kami rehatkan untuk persiapan minggu depan (final Piala FA). Secara keseluruhan saya gembira dengan pasukan,” katanya.