sukan

Saya Jangka Pan Gon tidak tahu

Johor Darul Ta’zim (JDT) melaungkan amaran awal mereka tidak gentar untuk berdepan dengan kelab dari Korea Selatan, Ulsan HD yang dikendalikan oleh Kim Pan-gon dalam kempen Liga Juara-Juara Asia Elit (ACLE) musim ini.

Ketua pegawai eksekutif JDT, Alistair Edwards berkata, kedua-dua pihak pernah bekerjasama sebelum ini dan itu sudah pasti akan memberi kekuatan tambahan buat pasukan masing-masing dalam memburu kemenangan nanti.

Jelasnya, jodoh mereka bersama wakil dari Korea Selatan itu begitu kuat apabila tiga musim berturut-turut diundi bertemu dengan mereka dan melihat rekod pertemuan sebelum ini, Harimau Selatan yakin boleh menjelmakan sesuatu keputusan positif.

“Ini adalah kali ketiga berturut-turut kita diundi dengan Ulsan dan jika melihat rekod lalu, JDT mampu berikan saingan dengan meraih keputusan positif ketika menentang mereka.

“Mengenai Pan-gon, saya rasa kedua-dua pihak memiliki kelebihan kerana banyak pemain kami dalam skuad kebangsaan yang mengetahui dengan taktikal Pan-gon dan begitu juga sebaliknya.

“Mungkin tiada kejutan tetapi saya jangka dia (Pan-gon) tidak tahu dengan kekuatan jentera serangan baharu kami.

“Apa yang pasti, kami gembira apabila dua kelab yang memiliki sejarah hebat dapat bertemu di peringkat tertinggi kali ini,” katanya

Terdahulu, Arena Metro melaporkan JDT bakal berdepan ujian sebenar apabila diundi dalam menghadapi tentangan lapan gergasi Asia.

Anak buah Hector Bidoglio akan beraksi sebanyak empat perlawanan di Stadium Sultan Ibrahim menentang Ulsan HD, Buriram United (Thailand), Pohang Steelers (Korea Selatan) dan Shanghai Shenhua (China).

Baki empat lagi aksi menyaksikan skuad Harimau Selatan akan bertandang ke gelanggang lawan dengan bertemu Shanghai Port (China), Central Coast Mariners (Australia), Shandong Taishan (China) dan juga Gwangju FC (Korea Selatan).