PDRM FC menambah derita Kuala Lumpur (KL) City FC apabila meraih kemenangan 2-1 dalam aksi Liga Super di Stadium Majlis Perbandaran Selayang, malam tadi.
Beraksi di atas padang becak akibat hujan sebelum perlawanan dilihat mengganggu aksi kedua-dua pasukan untuk mempamerkan permainan lebih menarik.
PDRM yang tidak tewas dalam dua aksi terakhir mereka berjaya mendahului pada minit kesembilan apabila Ifedayo Omosuyi menyudahkan umpanan Bruno Suzuki.
KL City yang berusaha keras memburu gol penyamaan bagaimanapun terpaksa menunggu minit ke-51 untuk menyamakan kedudukan selepas hantaran lintang pemain kebangsaan, Haqimi Azim Rosli disempurnakan Jovan Motika.
Namun, kegembiraan skuad City Boys tidak bertahan lama apabila rembatan jarak dekat Fadi Awad pada minit ke-65 menerjah jaring untuk kembali meletakkan PDRM di depan.
Tujuh minit selepas itu, malang menimpa PDRM apabila terpaksa beraksi dengan 10 pemain selepas tonggak pertahanan, Mohd Safiee Ahmad dilayangkan kad merah kerana mengasari Patrick Reichelt.
Peluang itu bagaimanapun gagal digunakan KL City untuk sekurang-kurangnya membawa pulang satu mata apabila percubaan dan peluang yang dimiliki mereka gagal disudahkan dengan jaringan.
KL City sebelum ini dipotong enam mata oleh First Instance Body (FIB) susulan deklarasi tunggakan yang tidak tepat atau tidak benar ketika proses pelesenan kelab.
Lebih malang, skuad kendalian Miroslav Kuljanac kemudian tewas 0-2 kepada Terengganu FC (TFC) di gelanggang sendiri yang menyaksikan mereka jatuh lapan anak tangga ke kedudukan ke-11 liga.
sumber:- BH
Kekalahan kepada PDRM meletakkan KL City kekal di kedudukan ke-11 dengan lima mata, manakala skuad The Cops naik ke tangga keenam selepas mengumpul 11 mata.