sukan

TFC kempunan di laman sendiri

Terengganu FC (TFC) kempunan untuk mengutip tiga mata selepas jaringan lewat kapten Sri Pahang FC, Stefano Brundo menyaksikan kedua-dua pasukan terikat 1-1 dalam aksi Liga Super di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Gong Badak, sebentar tadi.

Terdahulu pemain tengah Terengganu FC (TFC), Nurillo Tukhtasinov meledak gol sulung perlawanan pada masa kecederaan babak pertama.

Keputusan itu sekali gus menyaksikan skuad kendalian Tomislav Steinbruckner gagal membalas dendam kekalahan 1-2 dalam saingan sama musim lalu.

Pada perlawanan itu, skuad Tok Gajah kendalian legenda Singapura, Fandi Ahmad terlebih dahulu menguji benteng tuan rumah menerusi rembatan Mykola Ahapov pada minit ke-32, namun percubaan pemain kelahiran Ukraine itu berjaya ditampan penjaga gol, Suhaimi Husin.

Sebelas minit berselang, skuad Tok Gajah mendapat peluang terbaik untuk memecah kebuntuan gol menerusi sepakan percuma kapten, Brundo berdekatan kotak penalti.

Suhaimi yang kembali mendapat tempat dalam kesebelasan utama, sekali lagi bertindak cemerlang apabila berjaya menafikan percubaan pemain kelahiran Argentina itu.

Ketika kerap diasak, menerusi satu peluang terbaik Tukhtasinov tidak melepaskan peluang itu dengan sepakan menarik dari luar kotak penalti pada masa kecederaan babak pertama untuk pasukannya mendahului 1-0.

Bersambung babak kedua, pemain tengah menyerang TFC, Manuel Ott terlepas peluang untuk menambah jaringan pada minit ke-51 apabila gagal menyepak bola biarpun hanya berdepan penjaga gol, Muhammad Azfar Arif Mohd Sukri.

sumber:- BH

Ketika perlawanan dijangka memihak kepada TFC, Brundo muncul penyelamat pasukannya apabila meledak gol penyamaan menerusi tandukan pada masa kecederaan babak kedua untuk mengikat 1-1 hingga tamat perlawanan.