PENGENDALI skuad Johor Darul Ta’zim (JDT), Hector Bidoglio menjangkakan saingan sengit Perak FC pada aksi Liga Super di Stadium Perak, pada Sabtu.
Justeru, menurutnya, kesemua pemain perlu kekal fokus di sepanjang perlawanan bagi mengelak terperangkap dengan dengan taktikal skuad The Bos Gaurus itu yang pastinya ingin memburu kemenangan di hadapan penyokong sendiri.
“Bagi saya perlawanan menentang Perak adalah satu lagi perlawanan sukar yang akan kita harungi di tempat lawan.
“Ia memerlukan kita untuk beraksi dengan lebih baik seperti yang kita lakukan pada perlawanan-perlawanan terdahulu dalam usaha mencatatkan kejayaan.
“Oleh itu, kita perlu meningkatkan skil, dinamik dan intensiti pasukan bagi memberikan aksi terbaik pada perlawanan kali ini,” katanya menjelang perlawanan berkenaan.
Untuk rekod, skuad Harimau Selatan itu masih segar dengan kemenangan 6-0 ketika berdepan Kedah Darul Aman (KDA) FC, 9 Ogos lalu berbanding skuad Kejor Yob Kejor itu yang tewas mengejut 1-2 kepada Kuching City FC, di Stadium Perak, pada 30 Julai lalu.
Sementara itu, Bidoglio turut mengharapkan agar kesebelasan pemain yang diturunkan kelak menyajikan aksi terbaik bagi menjamin kejayaan pasukan.
sumber:- SH
Katanya, kejayaan tersebut secara tidak langsung boleh menjadi pembakar semangat menjelang aksi final Piala FA, 24 Ogos ini.“Memang kita bersiap sedia untuk aksi final Piala FA nanti, tapi buat masa ini, kesemua pemain perlu memberikan fokus kepada aksi berdepan Perak FC dan berusaha mencatatkan kemenangan,” katanya.