GANDINGAN kapten, Safawi Rasid dan penyerang import, Ismaheel Akinade akan terus diberi kepercayaan mengemudi jentera serangan menentang Sri Pahang FC pada aksi derbi Pantai Timur di gelanggang sendiri malam ini.
Pengendali Terengganu FC (TFC), Tomislav Steinbruckner berkata, pemain pinjaman Johor Darul Ta’zim (JDT) itu semakin menemui sentuhan berbisanya apabila sudah meledak enam gol setakat ini sekali gus muncul penyerang terbanyak pasukan.
“Kehadiran Safawi dan Akinade sebagai penggempur pasukan menyebabkan ramai lupa kita sebenarnya beraksi tanpa penyerang utama (Ivan Mamut) sejak awal musim lagi.
“Mereka sebenarnya bukanlah penyerang tulen tetapi lebih kepada pemain sayap namun pengorbanan itu semakin menunjukkan hasilnya,” katanya.
Steinbruckner yakin bintang Harimau Malaya itu akan meledak lagi dalam pertemuan dengan Sri Pahang untuk terus menghambat JDT dan Selangor FC yang kini berada di kedudukan dua teratas Liga Super.
“Kami berada pada motivasi tertinggi selepas berjaya menumpaskan Kuala Lumpur City FC di gelanggang keramat lawan minggu lalu. Begitupun, kita tak boleh memandang mudah cabaran yang bakal diberikan Sri Pahang nanti,” katanya.
Walaupun sekadar menghuni tangga ke-10, namun Sri Pahang yang dikendalikan legenda Singapura, Fandi Ahmad boleh dianggap ‘harimau terluka’ dan akan bermain mati-matian bagi memburu mata setelah kali terakhir menang pada 11 Mei lalu.
“Gandingan (Kpah) Sherman dan (Manuel) Hidalgo perlu diberi perhatian kerana dua pemain itu merupakan ayam tambatan Sri Pahang selain (Sergio) Aguero yang mengemudi jentera tengah,” jelas Steinbruckner.