Polis Diraja Malaysia (PDRM) bakal menempatkan seramai 2,228 anggota bagi aksi final Piala FA antara Johor Darul Ta’zim (JDT) dan Selangor yang akan berlangsung di Stadium Nasional, Bukit Jalil, 24 Ogos ini.
Liga Bolasepak Malaysia (MFL) dalam satu kenyataan menjelaskan perkembangan itu dimaklumkan Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Rusdi Mohd Isa ketika Presiden MFL, Datuk Ab Ghani Hassan melakukan kunjungan hormat ke Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur, semalam.
Kunjungan itu sebagai tanda penghargaan MFL kepada polis Kuala Lumpur yang banyak membantu kelancaran perlawanan Liga Malaysia (Liga M) termasuk pengelolaan perlawanan akhir Piala Malaysia dan Piala FA sebelum ini di Stadium Nasional.
Pada pertemuan itu, Ab Ghani turut memberikan sedikit taklimat berkenaan pengelolaan perlawanan akhir Piala FA 2024-2025 memandangkan polis Kuala Lumpur menjadi penyelaras utama dalam kawalan keselamatan aksi kemuncak itu nanti.
“Datuk Rusdi memaklumkan bahawa polis bersiap siaga bagi menghadapi perlawanan akhir itu apabila bakal menempatkan seramai 2,228 anggota untuk menjaga ketenteraman dan keselamatan serta memastikan kelancaran aliran trafik di sekitar venue pertandingan.
“Ab Ghani menyampaikan ucapan terima kasih kepada Datuk Rusdi dan semua anggota polis terbabit yang mana sudah membuat persiapan awal bagi memastikan tahap keselamatan dan keselesaan mereka yang hadir ke stadium berada di tahap terbaik,” kata MFL.
Jumlah anggota polis kali ini meningkat berbanding 750 anggota yang ditugaskan menjaga aksi final Piala FA membabitkan pertembungan JDT dan Kuala Lumpur (KL) City di Stadium Sultan Ibrahim, tahun lalu.
sumber:- BH
Stadium Nasional yang berkapasiti lebih 80,000 penonton dijangka bakal dipenuhi penyokong Harimau Selatan dan Gergasi Merah dengan aksi itu dianggap pertembingan epik kedua-dua pasukan.