Kedah Darul Aman FC (KDA FC) tetap menaruh harapan tinggi dan cekal berjuang dalam kancah Liga Malaysia (Liga M) musim ini meskipun berada dalam keadaan serba kekurangan dari segi kewangan berbanding musim lalu.
“Kita semua sedia maklum pasukan Sang Kenari kita bermula awal musim ini dengan segala macam liku dan duri. Namun Alhamdulillah, kita berjaya juga mendapat perlesenan untuk bertarung di musim ini dengan bajet yang dikurangkan hampir 40 peratus dari bajet musim lepas.
“Bagi saya, biarlah Sang Kenari dapat terus berada di gelanggang perlawanan dan pertandingan daripada tersingkir keluar dari gelanggang, dan sekarang yang mana kita sedang berada dalam gelanggang pada musim ini kita juga sedang berjuang dengan penuh kekurangan dan kelemahan kita.
“Namun, kami kuat dengan sokongan, dokongan dan doa anda semua. Kami masih teruskan perjuangan walaupun dalam serba kekurangan hanya kerana anda semua; peminat, penyokong dan rakyat Kedah Darul Aman keseluruhannya yang memberi sokongan,” kata pemilik KDA FC, Tan Sri Dr Mohd Daud Bakar di media rasmi KDA FC.
Mohd Daud juga berkata, buat masa ini, skuadnya tiada pilihan melainkan meneruskan langkah yang sudah dimulakan sejak awal musim ini dengan perbelanjaan agak terhad.
“Walaupun terbangnya mungkin agak rendah dan jalannya tempang namun kami masih percaya anda semua akan menolak kami terbang tinggi dan berlari laju semula. Kita adalah sebuah keluarga dan kami menunggu semua ahli keluarga menolak kami ke hadapan kerana itulah erti hidup dalam sebuah keluarga.
“Tidak keterlaluan kalau saya ingin mengajak peminat dan penyokong berpijak di bumi yang nyata kerana kita memang ingin mengapai bulan dan bintang tapi kita masih terbelit dengan pelbagai cabaran. Insya-Allah cabaran akan hilang satu hari nanti,” katanya.
Mohd Daud juga turut meluahkan perasaan kecewa dan sedihnya di atas dua kekalahan iaitu 1-2 dan 0-3 kepada skuad Johor Darul Ta’zim (JDT) pada saingan separuh akhir Piala FA lalu dan kekalahan 0-6 pada saingan Liga Super minggu lalu,
“Kita semua masih sedih dengan kekalahan teruk pasukan dalam perlawanan di Stadium Sultan Ibrahim baru-baru ini. Siapa yang tak sedih dengan keputusan ini? Semua orang termasuk jurulatih, pemain, pengurusan dan kakitangan KDA FC akan merasai keperitan dan kesedihan ini di samping peminat dan penyokong KDA FC.
“Kalau boleh, kita memang tidak mahu menanggung bebanan kekalahan ini dan kebetulan pula kita ditakdirkan bertemu dengan pasukan JDT dalam tiga dari empat perlawanan terakhir dalam selang hanya beberapa minggu.
sumber:- HM
‘Namun bagi saya, para pemain telah memberi apa yang terbaik di atas padang dalam keadaan banyak masalah menekan mereka di luar padang. Mereka tertekan tetapi mereka terus berjuang. Tidak semua orang boleh lakukan apa yang mereka lakukan ini. Luar biasa,” katanya.