Tiada tempoh ‘berbulan madu’ buat pemangku ketua jurulatih skuad Harimau Malaya, Paul Marti Vicente sebaik memulakan tugasannya di saingan Pestabola Merdeka, dari 4 hingga 8 September ini.
Jadual skuad negara tampak sibuk sehingga hujung tahun ini dengan sekurang-kurangnya empat tugasan besar bakal menanti dan menguji anak buah Vicente.
Difahamkan, selepas berakhir kempen Pestabola Merdeka, sekurang-kurangnya dua aksi persahabatan akan diatur membabitkan pertemuan menentang pasukan dari Asia pada Oktober ini.
Selepas itu, kemungkinan satu atau dua aksi menanti pada jendela aksi antarabangsa awal November ini dengan Laos sudah mengesahkan perlawanan itu.
Seterusnya saingan Piala AFF bakal mengambil tempat pada hujung November sehingga pertengahan Disember dengan Vicente berdepan misi besar untuk membawa pasukan sejauh mungkin dalam kejohanan serantau itu.
Menurut Setiausaha Agung Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk Noor Azman Rahman, segala perancangan sudah diatur bagi memastikan skuad kendalian Vicente benar-benar bersedia sebelum mengharungi kempen Kelayakan Piala Asia 2027, pada Mac tahun depan.
“Bulan 10 (Oktober) InsyaAllah ada dua perlawanan. Lepas itu bulan 11 (November) dan selepas itu bulan 12 (Disember), di mana hujung bulan 11 kita akan menghadapi Piala AFF,” katanya.
Ditanya pasukan manakah yang akan ditemui pada Oktober ini, Noor Azman meminta semua pihak bersabar dengan pengumuman tentang lawan yang akan ditemui bakal diumumkan sendiri Vicente.
“Setakat ini belum lagi, InsyaAllah dalam masa terdekat mungkin ketua jurulatih akan umumkan,” katanya.
Pada saingan Pestabola Merdeka bulan depan, skuad Harimau Malaya dijadual menentang Filipina di Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ) pada 4 September ini.
sumber:- HM
Jika menang, Malaysia bakal mara ke final dan akan menanti pemenang antara juara bertahan, Tajikistan atau Lubnan dengan aksi kemuncak akan diadakan pada 8 September di SNBJ.