sukan

Tak pernah padam dalam ingatan Zii Jia

Pemain perseorangan badminton lelaki utama negara, Lee Zii Jia menyifatkan kejayaan memenangi pingat gangsa Sukan Olimpik Paris 2024 satu pencapaian luar biasa.

Malah jelas pemain kelahiran Alor Setar, Kedah itu mengakui laluan sepanjang ke Paris 2024 lebih berliku berbanding ketika penampilan sulung di Tokyo 2020 sebelum ini.

“Mujur dalam impian saya bergerak sebagai profesional saya memiliki sebuah pasukan dalam bentuk Team LZJ yang cukup komited.
“Kerana mereka, saya memiliki kekuatan menghadapi jatuh bangun sejak menjadi profesional pada 2022.

“Pingat gangsa ni tidak mungkin jadi realiti kalau tidak kerana cinta saya pada Malaysia, dan juga syukur kepada penaja saya, Victor Sport, LG Malaysia dan 100Plus.

“Kepercayaan yang diberikan di sebalik pelaburan wang ringgit pada saya untuk merealisasikan apa sahaja impian saya membawa makna lebih besar untuk saya terus kekal bermotivasi,” katanya pada Rabu.

Pada masa sama Zii Jia juga berterima kasih kepada pihak yang pernah menajanya serta Universiti Malaya yang menyediakan kemudahan untuk meningkatkan prestasi.

“Kejayaan ini saya kongsi bersama anda. Tidak ketinggalan rakyat Malaysia dan penyokong saya di seluruh dunia, terima kasih kerana menjadi sandaran sokongan fizikal, mental dan emosi saya untuk terus berjuang sebagai seorang profesional,” ujarnya.
Zii Jia juga berterima kasih kepada Kementerian Belia dan Sukan (KBS), Majlis Sukan Malaysia (MSN) kerana sentiasa menyokong atlet negara termasuk Institut Sukan Negara (ISN) atas bantuan perubatan sepanjang Olimpik Paris 2024.

“Terima kasih juga kepada Majlis Olimpik Malaysia dan juga Ketua Kontinjen Malaysia ke Sukan Olimpik Paris 2024, Datuk Hamidin Mohd Amin dalam memastikan urusan penginapan terutama sekali kad akreditasi membabitkan anggota pasukan saya bagi membolehkan saya memiliki kekuatan penuh bertanding di Paris 2024.

“Tidak dilupakan Timbalan Ketua Kontinjen Malaysia ke Sukan Olimpik Paris 2024, Datuk Datuk Nicol David yang sentiasa ada dalam setiap perlawanan menyokong saya.

sumber:- stadium astro

“Iltizam saya adalah untuk memastikan impian pingat emas Olimpik sulung Malaysia jadi realiti, saya akan terus bekerja keras berbekalkan doa dan sokongan anda semua. Terima kasih,” katanya. — Sinar Harian