sukan

Adakah ini balasan saya langgar janji kepada ibu, isteri dan anak-anak?- Azizulhasni

Jaguh berbasikal trek negara, Datuk Azizulhasni Awang hari ini memohon maaf kepada seluruh rakyat Malaya kerana gagal merealisasikan harapan membawa pulang pingat emas sulung negara di Paris 2024.

Walaupun sudah lima hari berlalu, katanya beliau masih terkesan dengan insiden memotong ‘pacer’ di saringan pertama pusingan awal acara keirin yang menyebabkan dirinya tersingkir, sekali gus percubaan meraih emas terkubur.

Atlet berpengalaman berusia 36 tahun itu berkata, proses persiapan menjelang Paris 2024 berjalan lancar dan sentiasa memainkan gambaran positif dalam usaha menyediakan sebuah cerita manis buat Malaysia dan kariernya.

Namun, semua itu tidak berhasil seperti dirancang apabila insiden berkenaan menyebabkan dirinya disingkirkan dan detik pada ketika itu seakan terhenti seketika buat dirinya.

“Saya tidak dapat mencari perkataan untuk menggambarkan perasaan yang saya alami pada detik itu. Tidak pernah saya terfikir yang perkara seperti ini akan berlaku.

“Saya hadir ke Paris dengan penuh harapan dan membawa misi penting negara tercinta. Mungkin ada yang kata harapan terlalu tinggi terlalu besar membuat saya hilang kawalan. Tidak sama sekali, semuanya berada di dos yang sepatutnya.

“Saya teringat janji-janji kepada ibu, isteri dan anak-anak yang ini merupakan penampilan Sukan Olimpik terakhir ketika mana mereka semua meminta untuk saya bersara selepas pulih dari pembedahan jantung dahulu.

“Saya terfikir adakah ini semua berlaku kerana melanggari permintaan mereka dahulu. Dari awal karier sehingga sekarang mereka inilah sumber kekuatan untuk saya meneruskan perjuangan sehingga mampu menjadi antara terbaik di puncak dunia,” kata Azizulhasni dalam hantarannya di media sosialnya.

Semalam, Azizulhasni atau dikenali dengan julukan The Pocket Rocketman mendedahkan menerima permintaan daripada beberapa pihak termasuk rakan sepasukan, Muhammad Shah Firdaus Sharom dan ketua jurulatih berbasikal trek kebangsaan, John Beasley, yang memintanya meneruskan karier sehingga Los Angeles 2028 (LA 2028).

Begitupun katanya, beliau memerlukan masa untuk berehat selain membincangkan bersama keluarga bagi menimbangkan semula keputusannya untuk bersara.

“Islam mengajar kita untuk berdamai dengan takdir. Semua yang berlaku di dunia ini sudah ditentukan oleh Allah Azzawajala sebelum kita diciptakan lagi dan Allah adalah sebaik-baik perancang.

“Syukur kerana saya berpegang teguh dengan tali Allah, jika tak saya tidak tahu bagaimana untuk menghadamkan dan memproses segala yang berlaku,” katanya.

Terdahulu, Azizulhasni yang disandarkan harapan untuk menamatkan penantian emas negara pada temasya terulung dunia itu ditimpa nasib malang selepas disingkirkan seawal saringan pertama acara keirin lelaki di Velodrom Saint Quentin, Sabtu lalu.

sumber:- BH

Penyertaan pemenang pingat perak Sukan Olimpik Tokyo 2020 itu dibatalkan selepas didapati memotong derny (basikal elektrik bertindak sebagai pacer) sebelum derny meninggalkan trek sekali gus memaksa perlumbaan dimulakan semula tanpa penyertaan Azizulhasni.