sukan

Kedudukan carta Liga KL City menjunam selepas Pemotongan mata

Pemotongan enam mata dan kekalahan kepada Terengganu FC (TFC) di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur, kelmarin menyaksikan Kuala Lumpur (KL) City jatuh lapan anak tangga dalam Liga Super.

Skuad City Boys dikenakan hukuman pemotongan enam mata oleh First‬ Instance‬ Body‬ (FIB) pada 5 Ogos lalu susulan deklarasi‬ tunggakan‬ yang‬ tidak tepat atau tidak benar ketika proses pelesenan kelab sebelum ini.

KL City yang sebelum hukuman itu berada di kedudukan ketiga dengan mengumpul 11 mata bagaimanapun jatuh ke tangga ke-11 dan hanya memiliki lima mata selepas tewas 2-0 kepada TFC.

Situasi itu memberi satu lagi tamparan hebat buat skuad kendalian Miroslav Kuljanac selepas mereka tetap menampilkan aksi terbaik meskipun berdepan isu tunggakan gaji.

Kuljanac mengakui pasukannya sukar menerima situasi itu, namun menjelaskan bahawa mereka tidak boleh berputus asa untuk bangkit semula.

“Saya cuba bagi tahu mereka (pemain), kami tidak boleh mengubah (keputusan hukuman), kami perlu terima perkara itu. Kadang-kadang ia sangat sukar.

“Sukar untuk bayangkan anda yang berada di tempat ketiga dan satu hari anda jatuh ke kedudukan ke-11. Bukan mudah untuk menerimanya.

“Namun, Jumaat ini ada perlawanan baharu, kami kena bermain dan kami tidak boleh putus asa sekarang. Kami perlu bermain, bekerja dan perlu menang,” katanya.

sumber:- BH

Selain pemotongan enam mata, KL City turut berdepan denda berjumlah RM100,000, larangan perpindahan pemain sehingga hujung musim 2024-2025, tidak dibenarkan memohon‬ lesen‬ AFC‬ selama‬ dua‬ kitaran pelesenan kelab‬ MFL‬ dan lesen‬ AFC‬ bagi‬ pasukan itu yang diluluskan oleh FIB untuk kitaran pelesenan kelab MFL 2023-2024 bagi musim‬ AFC 2024‬-2025 dibatalkan.