sukan

Penyertaan Azizulhasni sah dibatalkan dalam acara keirin

Nasib malang menimpa jaguh berbasikal trek negara, Datuk Azizulhasni Awang selepas disingkirkan seawal saringan pertama acara keirin lelaki di Velodrom Saint Quentin, sebentar tadi.

Penyertaan pelumba berusia 36 tahun itu dibatalkan selepas didapati memotong derny (basikal elektrik bertindak sebagai pacer) sebelum derny meninggalkan trek sekali gus memaksa perlumbaan dimulakan semula tanpa penyertaan Azizulhasni.

Hanya lima pelumba memulakan perlumbaan dan saringan satu dimenangi pelumba Australia, Matthew Glaetzer sementara tempat kedua menjadi miliki pelumba Belanda, Jeffrey Hoogland.

Sebagai rekod, dua teratas pada setiap saringan akan melayakkan diri ke pusingan suku akhir yang akan berlangsung esok.

Dua teratas pada ‘repechages’ yang akan berlangsung sekitar jam 1 pagi nanti akan turut mendapat slot ke pusingan seterusnya.

Pada temasya di Tokyo tiga tahun lalu, Azizulhasni menghadiahkan pingat perak buat negara dengan jaguh berbasikal Great Britain, Jason Kenny merangkul pingat emas sementara pingat gangsa menjadi milik Harrie Layversen dari Belanda.

sumber:- BH

Selepas ini, seorang lagi pelumba negara, Muhammad Shah Firdaus Sahrom akan berentap dalam saringan kelima.